Bukan senang untuk mengekalkan momentum populariti kerana persaingan daripada ramai artis yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Membina rumah tangga dengan Awal Ashaari dan dikurniakan anak perempuan, Lara Alana, pasangan ini menjadi intaian warganet yang gemar melihat cara hidup, gaya berfesyen dan aktiviti seharian mereka bertiga.

Namun dalam merencana agar nama kekal menjadi sebutan dan relevan, Scha mempunyai rahsia tersendiri iaitu seimbang.

Seimbangkan kerjaya lakonan, pengacaraan, ikon fesyen dan rumah tangga adalah rahsia Scha terus kekal dalam industri.

Seronok Jadi 
Ikon Fesyen

Akhir-akhir ini Scha lebih aktif menjadi ikon fesyen dalam mewakili jenama antarabangsa ke luar negara. Setakat ini Scha sudah menjelajah banyak negara seperti Switzerland, Amerika Syarikat, New York, Milan, Rom dan Jepun demi memenuhi komitmennya di acara fesyen bertaraf antarabangsa.

“Banyak jenama terkenal yang melantik saya untuk menjadi wajah kepada jenama mereka. Saya fikir ini satu peluang yang tidak harus dilepaskan. Bukan semua orang ditawarkan peluang sebegini. Saya anggap ia salah satu cabang yang harus diambil ketika menjadi anak seni.

“Penglibatan dalam acara fesyen ini sebenarnya bagus untuk catatan seni dan profil saya. Ia menampakkan saya mempunyai versatil dan kredibiliti dalam membawa nama besar ke luar negara.

“Nampak mudah, tetapi tidak siapa tahu di sebalik senyuman saya terselit rasa berdebar dan rasa kurang yakin setiap kali mahu ke acara-acara fesyen bertaraf antarabangsa ini. Sebelum ni jarang selebriti Melayu dihantar ke sana. Jadi saya rasa kecil sangat apabila berada dalam kalangan selebriti-selebriti barat yang gah namanya.

“Apa-apa pun, saya akui terlalu banyak pengalaman yang diperolehi sepanjang terlibat dalam acara fesyen. Walaupun orang Asia ini kecil dari segi nama dan fizikal, saya belajar untuk lebih berani tampilkan diri. Soal keyakinan itu nombor dua, apa yang penting adalah kena berani walau apa pun perasaan yang ada ketika itu,” kata Scha.

Mengakui yang dirinya sukar memulakan perbualan dengan orang lain, namun apabila berada dalam kalangan selebriti lain di luar negara, dia akur perlu bercakap dan bertegur sapa.

“Mujur ramai selebriti atau model barat yang lebih suka bercakap dan memulakan perbualan. Dari situ saya mula membina keyakinan untuk bergaul,” kata Scha yang kerap menjadi perhatian lensa kamera setiap kali terlibat dalam acara fesyen.

Baginya, jurugambar di sana lebih berminat merakamkan foto orang Asia yang merupakan satu kelainan bagi mereka.

“Apa yang saya tahu, jurugambar di sana sangat suka mengambil selebriti yang mewakili Asia. Disebabkan fizikal, rupa, warna kulit dan cara berpakaian orang Asia agak berbeza dari barat, mereka gemar mengabadikan gambar-gambar kami dalam laman sosial mereka.

“Mulanya saya tidak tahu tetapi ramai peminat yang perasan gambar Scha ditanda dalam laman sosial jurugambar. Sebenarnya saya terkejut juga sebab saya biasa berpenampilan ringkas. Mekap dan rambut pun buat sendiri. Cuma apa yang saya tahu mereka lebih menghargai penampilan yang minimalis tetapi bergaya,” kata Scha.

Scha Alyahya

Mahu kekal relevan

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai ikon fesyen, Scha akui dirinya tidak pernah lupakan kerjaya asalnya iaitu lakonan dan pengacaraan. Malah ada yang sangka Scha sudah tidak berlakon lagi.

“Saya akui, ada yang menganggap saya sudah tidak berlakon lagi gara-gara aktif sebagai ikon fesyen sedangkan lakonan dan pengacaraan menjadi keutamaan saya.

“Sejujurnya saya gembira masih ditawarkan berlakon. Cuma saya lebih utamakan apa yang ditawarkan terlebih dahulu dan kebanyakannya adalah acara fesyen. Mereka selalu mengesahkan tarikh seawal dua bulan sebelum acara berlangsung. Kebanyakan tawaran drama pula diperolehi di saat–saat akhir.

“Bukan tak mahu berlakon cuma saya perlu utamakan yang sudah dipersetujui awal. Lagi pun, jemputan ke acara fesyen kebanyakannya memerlukan saya ke luar negara. Jadi persiapannya pun kena awal,” kata Scha.

Apa pun kata pelakon ini, lakonan dan pengacaraan menjadi keutamaan dirinya sampai bila-bila kerana melalui kerjaya tersebut dia mencari rezeki dan membina nama.

“Penglibatan saya di kaca tv sebagai pelakon dan pengacara amat penting untuk memastikan saya kekal relevan dalam industri. Walaupun ada selebriti mempunyai pengikut ramai di laman sosial, itu hanya bonus kepada mereka.

“Bagi saya wajah artis di kaca televisyen lebih penting. Jadi, saya selalu berbincang dengan suami untuk tampil lebih seimbang antara kerjaya lakonan, pengacaraan, iklan dan fesyen. Saya harus mengambil serius akan keseimbangan ini jika mahu terus kekal diminati.”

Scha Alyahya

Lagu Cinta Kita

Bagi mengubat kerinduan peminat yang mahu melihat Scha di kaca televisyen, Scha akan muncul dalam program realiti Lagu Cinta Kita yang diadaptasi daripada program realiti popular di Vietnam iaitu Love At First Song yang memerlukan peserta berduet melalui pilihan lagu untuk menguji keserasian masing- masing.

Scha menjadi juri tetap bersama penyanyi Hael Husaini dan seorang juri jemputan setiap minggu dan dihoskan oleh Nana Mahazan. Ia menawarkan RM50,000 kepada pemenang.

Memandangkan pasangan duet sangat dititikberatkan dalam program ini, ia menjadi satu cabaran buat Scha untuk memilih pasangan yang serasi.

“Konsep rancangan yang menggabungkan pasangan duet ini sesuatu yang baharu bagi masyarakat kita kerana biasanya rancangan realiti mementingkan individu perseorangan, bukan pasangan duet. Jadi, ini kekuatan rancangan ini

“Memilih pasangan sangat mencabar kerana saya tidak mengenali mereka secara dekat dan melihat kepada personaliti dan gambar sahaja. Saya dan komposer Ajai mencari perbezaan antara pasangan untuk disatukan agar wujudnya keseimbangan,” kata Scha yang akan membuat penilaian melalui penampilan, gaya badan serta penghayatan.

Lagu Cinta Kita akan disiarkan terlebih dahulu disiarkan secara digital dan eksklusif, bermula 19 April 2019 jam 9 malam pada setiap Jumaat dan Sabtu menerusi Youtube TV3. Ia kemudian disiarkan di TV3 pada 21 April setiap hari Ahad jam 3 petang.

Saman pengeluar pula

Selepas menang kes tuntutan saman terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn. Bhd., Scha bakal mengambil tindakan terhadap pengeluar minyak wangi ekslusif, Blue 
dan Maroon iaitu Eree International.

Tindakan itu diambil kerana kelalaian syarikat itu menyebabkan kerosakan 3,215 botol minyak wangi.

“Peguam saya sudah menghantar notis peringatan terhadap syarikat pengeluar itu kira-kira dua bulan lepas namun masih belum mendapat maklum balas sehingga hari ini. Surat tuntutan untuk bertanggungjawab atas kelalaian kerosakan jumlah botol minyak wangi itu akan dihantar selepas ini.

“Saya tiada niat untuk mendapat keuntungan daripada tindakan undang-undang yang diambil. Ia lebih kepada untuk memberi kesedaran kepada golongan selebriti supaya berhati-hati apabila terlibat dalam perniagaan. Yang penting kita perlu faham terma dan peraturan dan kena baca betul-betul,” kata Scha.

Sebelum ini, Scha dan Awal Ashaari berjaya memperoleh ganti rugi sebanyak RM345,305 selepas Mahkamah Sesyen membenarkan tuntutan saman mereka terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn. Bhd berhubung pelanggaran kontrak pengedaran dan penjualan eksklusif 20,000 botol minyak wangi jenama Bleu dan Maroon oleh syarikat pembekal tekstil tersebut.

Scha Alyahya

Kolaborasi keluarkan kasut dan beg

Buat pertama kalinya Scha berkolaborasi dengan pereka beg dan kasut terkenal Christy Ng.

“Kolaborasi ini adalah antara impian saya untuk lebih aktif dalam bidang fesyen. Saya harap kolaborasi saya dengan Christy Ng dalam menghasilkan beg dan kasut ini mendapat sambutan yang baik di kalangan masyarakat.

“Beg yang kami keluarkan dinamakan Cali terdiri daripada tiga jenis corak dan juga kasut yang dinamakan Leda. Kedua-dua jenama beg dan kasut ini mempunyai 12 warna pilihan yang sesuai digayakan dalam apa sahaja majlis,” katanya.