Kelahiran individu mahir dalam bidang berkaitan sejajar dengan inisiatif dijalankan pihak kerajaan dan swasta dalam memartabatkan bidang tersebut agar terus membangun pada masa hadapan.

Menyahut seruan yang sama, iM4U fm turut tidak ketinggalan dalam merencana program atau acara yang menjurus kepada pembangunan bakat baharu dalam bidang penyiaran radio di negara ini. Menerusi program Sekolah Radio iM4U 2016, hasrat melahirkan pelapis baharu dalam negara dapat diteruskan.

Sekolah Radio adalah antara agenda bersempena sambutan ulang tahun stesen radio itu, tahun ini. Menerusinya, persidangan dan bengkel interaktif telah dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada generasi muda tentang industri berkaitan.

Pengarah iM4U fm, Kartini Ariffin ketika ditemui berkata, penganjuran Sekolah Radio iM4U adalah untuk mendedahkan anak muda tentang bidang tersebut dalam konteks industri sebenar.

“Penyiaran radio merupakan cabang meluas. Di universiti atau kolej, ramai bakat baharu mempunyai minat mendalam. Namun mereka mendapat pendedahan cara lama yang berbeza dengan keadaan industri sebenar yang mengalami revolusi tahun demi tahun.

“Oleh itu, kami merasakan perlu ada pendedahan menyeluruh dan bersifat intensif tentang keperluan industri penyiaran radio arus perdana yang ramai terlepas pandang. Dengan adanya Sekolah Radio iM4U, matlamat ini dapat direalisasikan,” katanya.

Program tersebut dihadiri 400 peserta yang kebanyakannya pelajar universiti tempatan. Dilaksanakan selama sehari, program itu terbahagi kepada beberapa segmen yang dikendalikan pengamal penyiaran radio dalam dan luar negara.

Antaranya ialah Presiden Radio Malaysia Komersial, Datuk Dr. Jake Abdullah; pakar jenama Audio Radio Hertz, Tony Hertz; penyampai radio tempatan Faizal Ismail dan Fara Fauzana.

Fara Fauzana menyuarakan keterujaan dan gembira diberi peluang untuk turut serta dalam program bermanfaat itu. Katanya, penglibatan dalam Sekolah Radio iM4U membuka peluang kepadanya berinteraksi dan mengenali peminat dalam bidang yang sama.

“Acara seperti ini perlu diteruskan untuk memberi peluang kepada generasi muda mengenali dunia radio yang cukup luas. Saya akui, penyertaan ini mengubat kerinduan saya terhadap bidang tersebut,” ujarnya.

Faizal dalam acara sama pula berpendapat, program tersebut adalah inisiatif efektif yang mampu memberi pendedahan menyeluruh tentang dunia penyiaran radio kepada umum.

“Dengan penyertaan ini, saya dapat berkongsi pengalaman dan sedikit input kepada semua peserta berdasarkan penglibatan dalam industri yang semakin lama, semakin membangun ini,” jelasnya. – AL FAIZAL/ SHAIFUDIN MOHD. NOR