Pendatang baharu yang semakin dikenali selepas membintangi siri My Coffee Prince itu berkata, klip tersebut merupakan sedutan rakaman ketika menjalani penggambaran drama Sepasang Awan Putih untuk siaran RTM yang diadakan pada pertengahan bulan lalu.

“Saya membawakan watak seorang pemuda Cina bernama Chan yang memasuki agama Islam. Saya percaya, setiap orang akan hilang arah tanpa adanya pegangan agama.

“Jadi, dalam video itu, saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai pelakon. Cuma, berlaku sedikit kesilapan ketika melakukan adegan solat yang membuatkan ramai pengikut meninggalkan komen.

“Bagaimanapun, komen-komen yang ditinggalkan tidaklah teruk. Mereka sekadar menegur secara baik kerana faham saya bukanlah penganut agama Islam,” katanya memberi penjelasan kepada Utusan Online.

Pun begitu, menurut Sean, berdasarkan komen-komen tersebut, dia banyak mempelajari dan mendalami ilmu Islam termasuk teknik atau cara menunaikan solat dengan betul.

“Terdapat beberapa perbezaan amalan solat yang dilakukan penganut Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia mengikut fahaman masing-masing. Cuma rukun solat itu sahaja yang sama,” katanya. - UTUSAN ONLINE