Rentetan berita kemusnahan rumah tangga yang dibina, ramai dalam kalangan rakan selebriti memberikan reaksi selain mengharapkan apa yang berlaku boleh dijadikan pengajaran.

Nora Danish atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 37, misalnya mengakui dia bukan individu terbaik untuk memberi pandangan terhadap isu sedemikian sementelah perjalanan hidupnya sendiri telah diuji sebelum ini.

NORA DANISH

Pernah mengalami pasang surut perkahwinan yang mana akhirnya membawa kepada perceraian ketika bersama Rizal Ashram Ramli, tegas Nora, dia pasti setiap pasangan berkahwin tidak ingin masjid yang dibina berakhir dengan perpisahan.

“Saya sedar kebelakangan ini ramai artis yang bercerai. Saya juga pernah laluinya, jadi saya tidak berhak untuk memberikan sebarang nasihat kepada mereka.

“Pada saya terlalu banyak kes mahkamah berkaitan rumah tangga berlaku, bukan sahaja rumah tangga selebriti. Ini adalah lumrah perkahwinan.

“Untuk memberi tip atau nasihat, saya belum mampu, namun saya doakan yang baik-baik untuk semua rakan-rakan di luar sana,” jelas Nora ketika ditemui dalam sidang akhbar Muzikal Lawak Superstar baru-baru ini.

Selain Nora, program Muzikal Lawak Superstar juga menampilkan selebriti terkenal iaitu Datuk Awie dan Altimet sebagai juri tetap. Program ini bersiaran langsung secara eksklusif dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) pukul 9 malam dan mempertaruhkan 14 kumpulan lawak popular untuk dipertandingkan.

Sementara itu, Nora berkata, dia mengamalkan komunikasi yang jelas dalam hubungan rumah tangganya bagi memastikan tiada perselisihan faham antara dia dan suaminya, Nedim.

“Komunikasi sangat penting dalam hubungan. Memandangkan kedua-dua kami pernah melalui fasa perceraian pada perkahwinan terdahulu, jadi kali ini kami lebih serius.

“Kami sentiasa berusaha yang terbaik dan tidak saling menyalahkan antara satu sama lain supaya perjalanan rumah tangga lebih aman,” jelas Nora.

Nora berkahwin kali kedua dengan ahli perniagaan, Nedim Sujak Nazri pada Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Mohamed Neqayl Nedim berusia setahun manakala menerusi perkahwinan pertama, Nora mendapat seorang cahaya mata, Putera Rayqal, 10.

Bercerita soal kerjaya pula jelas Nora, dia mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti seni bagi menumpukan perhatian kepada anak-anak.

“Saya ada anak kecil, jadi saya kurangkan aktiviti seni dengan hanya mengambil dua drama bersiri dalam setahun. Saya masih aktif berlakon tetapi tidaklah rancak seperti dahulu.

“Suami sentiasa menyokong keputusan yang saya buat. Dia tidak menghalang jika saya hendak berlakon, tapi naluri seorang ibu sering menghalang.

“Saya sangat rindu anak kalau berjauhan atau terpaksa lakukan penggambaran sepanjang hari,” luah Nora jujur.