Semalam, Safiey mendedahkan seorang pengarah menawarkan dia melakonkan watak sebagai wanita.

Katanya, dia dikehendaki melakukan hanya satu adegan untuk muzik video lagu nyanyiannya yang bertajuk Apa Salah Syinta.

Tidak menyebut nama pengarah tersebut, Safiey bagaimanapun menolak idea berkenaan kerana tidak mahu mengecewakan seluruh ahli keluarga.

“Saya tak kisah nak bergaduh pun. Saya buat semua sebab nak reda Allah. Saya sanggup tolak,” tulisnya pada foto paparan perbualan WhatsApp yang dimuat naik dalam Instagram.

Safiey Ilyas

TANGKAP layar perbualan Safiey dengan pihak produksi video muzik terbaharunya yang dikongsi dalam laman Instagram miliknya. - UTUSAN ONLINE

Hantaran itu mendapat respon daripada kalangan pengikut Instagram yang gembira dengan keputusan Safiey.

Tak kurang, ada yang mendoakan dia agar terus istiqamah.

Sekitar tahun 2017, Safiey sebelum ini pernah menjadi sebutan kerana keputusannya untuk berhijrah daripada seorang mak nyah kembali kepada dirinya yang asal.

Selain itu, dia juga dilaporkan pernah menjalani pembedahan bagi membuang implan payu dara selain menunaikan umrah sebagai usahanya untuk kembali ke pangkal jalan.

Namun tidak beberapa lama kemudian, dia dikatakan kembali semula ‘menjadi wanita’.

Tetapi, baru-baru ini Safiey tampil dengan imej berambut pendek malah turut berazam untuk menjadi insan yang baik dan tidak mahu lagi memalu keluarganya.

Segelintir warganet mempertikaikan perubahan tersebut kerana sudah serik selepas terpedaya dengan niat Safiey suatu ketika dahulu.

Malah timbul dakwaan, ia hanyalah gimik untuk mempromosikan lagu terbaharunya. - UTUSAN ONLINE