“Alhamdulillah saya lihat ini sebagai balasan untuk apa yang saya sudah lalui. Pengorbanan dan penganiayaan yang saya hadapi selama ini membuahkan hasil yang cukup bermakna untuk terus berada di sini.

“Saya pernah melalui pelbagai dugaan termasuk fitnah demi fitnah sepanjang karier saya. Ini semua kuasa Allah dan sehingga kini saya masih bertahan,” kongsinya.

Enggan berselindung, Awie mengakui baru sahaja berhadapan dengan satu lagi ujian kehidupan. Kongsi Awie, beliau ditipu seorang rakan yang dianggap seperti ahli keluarga dan perkara itu cukup memilukan.

 

Walaupun sukar untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku, menurut Awie, tiada yang lebih penting untuk mereka di luar sana tahu tiada dendam antara mereka dan beliau sudah memaafkan individu tersebut.

“Tetapi untuk kembali menjalinkan hubungan seperti dahulu mungkin tidak. Allah sudah tunjuk siapa dirinya yang sebenar dan saya bersyukur.

“Saya anggap ini sebagai satu lagi ujian untuk saya. Tidak mengapa sebab saya sentiasa yakin dengan rezeki yang sudah Allah tentukan,” katanya.

Buku

Melalui pengalaman pahit manis sebagai anak seni, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman tidak menafikan terlalu banyak rahsia disimpan sebelum ini kerana beliau lebih senang untuk pendamkannya. Namun, melihat ada kebaikan yang mungkin dapat diberikan kepada mereka di luar sana, Awie tidak menolak untuk membukukan kisah hidupnya. itu adalah antara impiannya yang masih tertangguh.

“Memang saya mempunyai niat untuk menerbitkan buku mengenai kisah hidup saya. Malah beberapa tahun sebelum ini saya sudah bertemu dengan seorang penulis, namun tidak kesampaian bila ada masalah yang timbul dengan syarikat penerbitan tersebut.

Awie bersedia membukukan pengalaman pahit manis selama lebih tiga dekad sebagai pejuang seni bagi memberi iktibar kepada masyarakat.

Katanya, tiada rahsia yang disembunyikan, sebaliknya segala peristiwa yang berlaku sepanjang pendakian kerjaya hingga namanya dikenali ramai bakal mengisi buku itu.

“Saya sudah bertemu seorang penulis untuk memulakan projek itu beberapa tahun lalu, tetapi terpaksa dihentikan selepas syarikat yang berminat menerbitkan buku itu ditutup.

“Memang saya sudah bersedia untuk membuka kisah hidup saya. Jika sebelum ini kebanyakan kontroversi yang berlaku saya lebih senang mendiamkan diri, tetapi dalam buku ini kelak saya akan jelaskan secara terperinci apa yang saya lalui,” katanya.

Ditanya sama ada kisah cinta dan perkahwinan terdahulu yang dilaluinya juga akan turut menjadi antara isi utama dalam buku ini kelak, Awie tidak menolak kisah cintanya juga antara pengalaman penting dalam hidupnya.

“Semua akan saya ceritakan, namun ia hanya berkaitan diri sendiri. Saya tidak akan membuka aib individu lain yang pernah hadir dalam hidup dan kerjaya saya. Penting untuk saya bersikap jujur dalam menghasilkan buku tersebut.

“Buku ini lebih kepada penceritaan berbentuk fakta berdasarkan perjalanan hidup saya sebagai anak seni dan insan biasa,” katanya selepas sidang akhbar Konsert Awie Romantika 2020.

Sementara itu, Awie bakal meraikan ulang tahun ke-25 sebagai penyanyi solo dalam konsert yang bakal diadakan pada 15 Februari 2020. Memilih konsep teaterikal, ia bukan sekadar konsert biasa, sebliknya beliau mahu menggunakan kelebihan yang ada sebagai pelakon untuk menghiburkan penonton.

“Bila ada penaja jadi saya fikir ini adalah peluang yang baik untuk saya jayakan Konsert Awie Romantika 2020. Bagi pihak saya sendiri akan keluarkan konsep dan idea juga.

“Memang akan ada artis lain yang akan diundang, cuma buat masa ini masih belum dapat dipastikan siapa,”katanya.

Konsert Awie Romantika 2020 dijadualkan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor, pada 15 Februari 2020, pukul 8 malam. Bagi yang ingin mendapatkan tiket boleh layari laman sesawang www.myticket.asia atau hubungi 03 86050195.