Bagaimanapun melihat apa yang berlaku bagi bapa penyayang ini tiada kompromi buat dia mengasingkan kebahagiaan buat tiga anaknya itu. Tetap reda dengan apa yang berlaku, ternyata ada harapan yang tidak mahu disembunyikan Eizlan sendiri.

“Kalau ikutkan, ini tahun pertama saya akan menyambut hari raya tanpa isteri selepas tujuh tahun berkahwin.

“Bagaimanapun tiada apa yang kurang buat anak-anak memandangkan persiapan itu memang sudah saya dan bekas isteri siapkan lebih awal dalam mengelakkan keadaan kelam kabut,” katanya ketika hadir ke Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tidak mahu Eizlan sendiri bercerita terlalu mendalam dengan apa yang berlaku ke atas keluarganya. Tetapi jauh di sudut hati lelaki ini, dia tidak dapat menolak perceraian yang berlaku adalah yang kejadian yang paling perit dalam laluan hidupnya.

“Saya memang tidak pernah menjangkakan keadaan ini. Sebabnya saya sangat sayangkan keluarga saya.

“Selepas perceraian itu berlaku saya mengambil masa sehingga dua bulan untuk mencari kembali kekuatan untuk bertemu dengan orang luar selain keluarga saya,” katanya serba ringkas menjelaskan keadaan dirinya selepas bercerai dengan bekas isteri Vie Santie Harun pada Februari lalu.

Jujur dari hati lelaki ini dia terima dengan apa yang berlaku, mungkin sudah tertulis rezekinya hanya untuk menjadi suami selama tujuh tahun sahaja buat masa ini. Tetapi apa yang mengubat hatinya kini adalah fakta yang mengatakan dia adalah bapa kepada tiga anak comel miliknya.

“Jika dahulu pulang ke rumah disambut anak-anak tetapi selepas bercerai rasanya berbeza, sehingga suatu ketika saya sendiri tidak mahu pulang ke rumah kerana tidak lagi merasai keadaan itu.

“Tetapi saya tetap bersyukur sebab masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada mereka walaupun status saya kini adalah sebagai bapa tunggal sebabnya saya masih boleh bertemu mereka setiap hari,” katanya positif. - Gambar Jeffri Iran

Masih berlakon

Merupakan seorang usahawan yang berjaya dalam bidang hartanah dan kewangan, tetapi jelas Eizlan tiada sebab untuk dia meninggalkan bidang lakonan. Percaya setiap bidang yang diceburi layak mendapat perhatian sepenuhnya dari pihaknya dia tidak mahu ada yang beranggapan lakonannya sekadar memenuhi waktu lapang.

“Saya tidak pernah melihat setiap bidang yang saya ceburi perlu dibezakan. Bagi saya semuanya penting dan saya memberi sepenuh perhatian terhadap karier saya.

“Malah saya tidak melihat saya akan meninggalkan bidang lakonan buat masa ini memandangkan memang itu sudah menjadi sebahagian dari hidup saya,” katanya.

Bercakap soal anak-anaknya pula, Eizlan sendiri tidak dapat menolak sudah melihat keinginan yang kuat daripada anaknya untuk mengikuti jejak langkah dia sebagai pelakon. Tidak menghalang mahupun menggalakkan. Tentunya bagi bapa hebat ini dia mahu anak-anaknya mendapat peluang pelajaran yang terbaik dahulu.

“Memang kalau yang si kakak sudah tanya bila dia boleh berlakon, memang buat masa ini saya minta dia tunggu dahulu.

“Biar sampai waktu yang sesuai dan saya akan benarkan, sebabnya buat masa ini saya mahu memberikan mereka pelajaran yang asas dahulu,” katanya.

Harapan untuk kembali bersama

Ditemani bekas ibu mentua Juliah Ahmad, 48, ke studio Utusan, penulis tertanya sendiri apa keadaan sebenar keluarga ini. Hanya tersenyum menjelaskan teka-teki dalam fikiran penulis, jelas Eizlan sehingga ke hari ini dia dan bekas isterinya tidak pernah mempunyai masalah.

“Kami masih berkomunikasi seperti biasa, benar ikatan itu sudah tiada tetapi kami tidak akan leraikan apa yang masih mengikat kami iaitu anak-anak.

“Malah saya mahu memuji bekas isteri saya yang pada saya cukup sempurna dalam membimbing dan menyediakan keperluan yang baik untuk anak-anak kami,” katanya.

Mempunyai hubungan yang masih baik dengan bekas isterinya bukan suatu dongeng buat Eizlan. Bagi membuktikan kenyataan itu kata Eizlan sehingga kini juga dia hanya tinggal kurang 10 meter dari rumah bekas isterinya itu. Bagaimanapun setiap apa keputusan yang diambil kini adalah untuk memudahkan dia menemui anak-anaknya iaitu Vie Zaara, 7, Zareef Yusof, 5, dan Vie Zaalia, 2 tahun.

“Kami berjaya mengekalkan hubungan yang baik walaupun sudah bercerai. Mungkin ikatan perkahwinan itu sudah tiada tetapi sebagai seorang dewasa kami tahu anak-anak tidak akan dapat dipisahkan daripada kami.

“Sehingga kini saya masih bebas untuk bertemu dengan anak-anak saya pada bila-bila masa sebab tiada halangan. Jadi dalam keadaan ini saya memang ambil kesempatan cukupkan waktu dengan mereka sebab tidak mahu ada rasa kekurangan,”katanya.

Masih kacak dan muda, pasti ada yang terdetik adakah peluang ini akan digunakan Eizlan sendiri untuk mencari pengganti. Hanya tersenyum jujur, ini adalah harapan ikhlas Eizlan sendiri yang mengimpikan agar suatu hari nanti ada harapan buat keluarganya kembali bersatu.

“Saya tiada masa untuk semua itu (mencari orang lain) fokus saya hanya anak-anak dan karier saya sahaja.

“Memang sehingga kini tiada yang dapat menandingi kasih sayang isteri saya kepada anak-anak. Jadi memang sudah menjadi doa saya agar suatu hari nanti untuk melihat saya kembali bersama keluarga saya,” katanya berharap.