Sama ada ia sengaja diada-adakan mahupun sememangnya benar-benar terjadi, dia bagaikan tidak dapat lari daripada sering menjadi bahan kecaman dan kritikan orang ramai.

Bermula dengan isu jatuh pentas ketika membuat persembahan jelajah, nyanyian yang lemah

 

dan dipeluk peminat wanita, kontroversi As’ad tidak berhenti di situ.

Kemudiannya muncul dengan isu menyanyi syok sendiri lantaran sebuah acara hiburan membabitkan persembahannya didakwa tiada pengunjung dan dewan kosong, juga tidak bernoktah di situ.

Terbaharu, persembahannya bersama artis Lan Typewritter, Lah Ahmad dan Adeep Nahar dalam program Konsert Minggu Ini menerusi saluran RTM turut dikecam peminat.

Kalau dihuraikan satu-persatu setiap kontroversi yang menimpanya, entah mengapa satu kunci utama yang sering terkait pasti menyebut mengenai kelemahan vokalnya.

Sedar bahawa dia masih baharu dan semuanya adalah satu proses belajar, As’ad tidak sombong enggan mengaku kelemahan diri.

“Entahlah, kalau tak buat salah pun orang tetap akan cari kesilapan dan menyerang saya. Adakala terfikir juga, setiap kali munculnya kontroversi, saya bagai sudah tidak ada alasan atau jawapan untuk diberikan apabila ditanya.

“Namun akhirnya tetap akan saya jawab atas landasan profesional. Dalam masa sama, saya juga faham pihak media cuma menjalankan tugas mereka,” katanya.

Mengaku adakalanya muak dengan soalan berkaitan kontroversi, sebagai anak seni dia cuba mencari sisi positif dalam setiap apa yang berlaku.

Katanya, meski setiap kontroversi hakikatnya memperlihatkan sisi buruk dan kelemahan dirinya, As’ad cuba melihatnya dari satu perspektif lain.

“Rasanya, bukan saya seorang sahaja selalu terkena. Saya tengok ramai dalam kalangan artis baharu dalam kategori Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) juga sering diserang.

“Saya tahu diri kena kuat kerana ini jalan yang dipilih. Dalam masa sama, saya sedar tak dapat nak puaskan hati semua pihak. Apa yang boleh dilakukan, fokus sahajalah pada kerjaya selagi
masih ada yang percaya pada bakat saya,” tambahnya.

Harus bagaimana?

Berkongsi cerita lagi, penyanyi berusia 18 tahun ini juga mengaku kontroversi juga banyak

 

memberi kesan pada dirinya.

Mungkin tidak selalu berkongsi dalam media sosial, namun kata As’ad sama ada sedar atau tidak, dia sebenarnya sudah lali dengan komen negatif orang.

“Adakala rasa macam orang sakit mental sebab saya dah tak tahu nak bezakan perasaan dalam diri. Macam tak ada perasaan.

“Rasa itu dah mati. Macam orang yang selalu tumbuk dinding dan akhirnya dia tidak merasakan kesakitan itu. Saya tahu ia akan kedengaran seperti tidak normal, tetapi inilah apa yang saya hadapi sekarang,” katanya.

Menurut penyanyi ini lagi, sejak dua tahun lalu bagai sudah menjadi kebiasaan untuk dia menyerap segala caci maki orang dan mungkin ‘inilah’ bayarannya untuk bergelar seorang artis.

Sedar bahawa dunia hari ini sangat mencabar, As’ad melihat itu sebagai situasi yang perlu dihadapi oleh mana-mana artis generasi baharu.

“Berbanding artis senior, zaman mereka dulu tidak punya media sosial dan kalau ada kritikan dan kecaman pun. Semuanya berlaku secara langsung di depan mereka.

“Zaman sekarang, dunia maya itu lebih terbuka dan semua orang berani menjadi netizen. Mereka mengatakan apa yang mereka mahu walaupun di luar landasan. Kena ingat, artis pun manusia biasa,” katanya.

Rezeki kecaman

Pun begitu, penyanyi ini tetap melahirkan rasa syukur. Meski diri dihujani pelbagai kecaman dari kiri dan kanan, rezeki tetap menyebelahi dirinya.

Sehingga hari ini masih banyak pihak meletakkan kepercayaan padanya sama ada dalam bidang nyanyian mahupun sebagai duta produk.

Menganggap semua itu rezeki dan tuahnya,  penyanyi ini sempat memberi pesanan buat semua artis muda di luar sana.   

"Saya tahu ramai akan sindir yang saya ini baru berusia setahun jagung dan sudah pandai-pandai mahu beri nasihat pada orang lain.

“Sedangkan niat saya ikhlas dan sayangkan artis muda yang ingin cuba mencari peluang dalam bidang ini. Satu pesanan, jangan sesekali peduli atau membazirkan masa melayan pembenci (haters),” katanya ringkas.

Menganggap setiap peluang harus dimanfaatkan dengan sebaiknya, As’ad percaya profesionalisme dapat menangkis setiap komen negatif yang dilemparkan angkatan 
pembenci.