Prisma Seni yang merupakan singkatan daripada Persatuan Mahasiswa Aktif Seni ditubuhkan pada 20 Ogos 2000. yang merupakan kumpulan seni tari yang bergerak aktif di bawah Pusat Kebudayaan Hal Ehwal Pelajar UiTM.

Prisma Seni sudah 14 tahun aktif dalam dunia seni tari memberi peluang kepada para pelajar mengembangkan bakat tarian selain tumpuan dalam bidang akademik.

Apa yang lebih menarik, bakat mereka itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dijemput mengadakan persembahan pada Royal Days International Folk Dance Festival di Sekesfehervar, Hungary dari 18 hingga 25 Ogos ini.

Menurut Pengarah Program Prisma Seni, Nur Hidayah Roslee, kumpulan tarian itu turut menjadi medium untuk para pelajar berkarya dan bergiat aktif dalam dunia seni tari.

“Ini mengajar pelajar dari persatuan ini untuk mengekalkan seni tari sebagai warisan budaya bangsa yang wajar di pelihara agar dapat dinikmati dan dihayati oleh generasi pada masa datang. Bahkan ia juga turut memberi manfaat kepada pelajar institusi ini.

“Melalui aktiviti sihat seperti ini, para pelajar dapat meneruskan nilai-nilai murni dan budaya bangsa. Kegiatan kokurikulum dan aktiviti luar kampus seperti ini juga sangat dituntut oleh Kementerian Pengajian Tinggi agar pencapaian akademik dan ko-kurikulum di kalangan mahasiswa universiti seimbang,” katanya.

Keseluruhannya kata Nur Hidayah, melalui aktiviti itu juga ahli-ahli dapat merasa pengalaman yang cukup berharga kerana berpeluang bekerjasama dengan badan-badan dan agensi kerajaan untuk menjayakan program yang besar dan turut dapat menyerlahkan bakat yang ada pada diri mereka.

Mengenai penyertaan mereka pada festival di Hungary itu, Nur Hidayah berkata, ia anjuran Majlis Antarabangsa bagi Pertubuhan Seni dan Warisan Rakyat (CIOFF) di mana pelbagai acara seperti persembahan, perarakan, pameran dan sebagainya diadakan sepanjang festival tersebut.

“Prisma Seni sangat berbesar hati di atas jemputan oleh pihak penganjur untuk menjadi duta kecil Malaysia dalam mempromosi seni budaya dan muzik tradisional ke peringkat antarabangsa.

“Dalam masa yang sama, Prisma Seni akan turut mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan kepada masyarakat Hungary dan negara-negara lain yang turut menyertai festival ini.

“Di samping itu, Prisma Seni juga turut membawa nama UiTM ke peringkat antarabangsa di mana UiTM akan diperkenalkan sebagai sebuah universiti Bumiputera terunggul di Malaysia.

“Prisma Seni adalah kumpulan pertama dari Malaysia yang dijemput untuk menyertaifestival ini,” katanya.

Nur Hidayah menjelaskan, Prisma Seni dipilih berdasarkan pencapaian mereka serta persembahan yang menarik sepanjang menyertai festival di Korea Selatan pada tahun 2010, 2011 dan 2013 sekali gus pihak CIOFF di Korea Selatan telah menghantar nama Prisma Seni sebagai wakil Asia ke Hungary.

Berbangga dengan jemputan CIOFF itu, katanya, mereka berusaha memenuhi jemputan pihak penganjur demi memperlihatkan serta menaikkan imej seni dan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Di samping itu, festival ini akan memberi peluang kepada para peserta terutama mahasiswa UiTM khususnya untuk menimba pengetahuan serta pengalaman dalam bidang seni budaya termasuklah mengenali budaya dari negara-negara lain.

“Peluang sebegini dapat membantu menaikkan semangat serta memberi galakan kepada para peserta ini untuk meneruskan perjuangan dalam memelihara, mengembangkan, serta menghargai kesenian budaya warisan bangsa dan negara.

“Tambahan pula, dengan program ini akan membantu UiTM dalam membentuk mahasiswanya untuk menjadi pelajar yang lebih aktif, berkeyakinan tinggi dan cemerlang dalam menguruskan serta menyertai program kebudayaan sebegini,” katanya.