Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak mengeluarkan permit untuk acara itu.

“MBSA tak keluarkan permit,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Acara yang diberi nama 2019 Kim Jae Hwan Fan Meeting Mind:D itu sepatutnya berlangsung pada pukul 6 petang tetapi ribuan peminat yang hadir resah kerana sehingga pukul 6.30 petang pintu stadium masih belum dibuka.

Kekecewaan peminat semakin memuncak sebaik wakil penganjur muncul pada pukul 6.40 petang dan mengesahkan hasrat mereka untuk menyaksikan persembahan dan sesi bertemu dengan penyanyi berusia 23 tahun itu tidak menjadi kenyataan sehingga menimbulkan sedikit kekecohan.

Dalam pada itu, Baharuddin berkata polis telah meminta semua peminat bersurai dan mereka mematuhinya

“Semua sudah bersurai dan keadaan aman damai,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE