Bertempat di [email protected] Row, Kuala Lumpur, konsert tersebut boleh dianggap sebagai sebuah persembahan intim antara sebuah kumpulan dan peminat mereka.

Kesemua lagu dalam persembahan yang mengambil masa selama dua jam itu ditampilkan dengan cara akustik. Ditambah lagi dengan ruang yang agak kecil membuatkan peminat terasa sangat rapat dengan setiap anggotanya.

Ketiga-tiga anggota kumpulan itu, Andra Ramadhan (gitaris), Stevie Morley Item (gitaris) dan Dedy Lisan selaku vokalis menyatakan rasa puas mereka apatah lagi sudah hampir enam tahun tidak berkunjung bertemu peminat tempatan.

“Lebih kurang enam tahun kami tidak berkunjung ke sini. Tetapi sokongan yang diberikan cukup kuat untuk kami.

“Peminat di sini belum lupa dengan lagu-lagu kami dan sentiasa memberi sokongan. Sebab itu, kami semua rasa puas sangat dengan persembahan yang diberikan,” jelas Dedy yang ditemui usai persembahan.

Malam itu menyaksikan persembahan santai oleh kumpulan itu dengan lagu-lagu yang dimainkan secara akustik.

Lagu-lagu popular seperti Dunia Masih Milik Kita, Tunggu Aku, Hikayat Cinta dan Main Hati antara yang dinyanyikan oleh mereka.

Andra yang juga menganggotai kumpulan Dewa 19 turut memberi penghargaan buat kumpulan yang cukup popular itu dengan membawakan lagu mereka berjudul Aku Di Sini Untukmu, Satu Hati serta Separuh Nafas.

Malah, sebelum lagu itu dipersembah, Dedy selaku vokalis juga sempat memuji kemantapan suara Ari Lasso selaku bekas vokalis Dewa 19.

“Ramai yang tahu bahawa Andra adalah anggota Dewa 19. Malah, ada juga peminat yang datang pada malam ini bukan sahaja peminat kepada Andra & The Backbone, tetapi juga peminat Dewa 19.

“Sebenarnya agak khuatir untuk saya bawakan lagu-lagu Dewa 19 dalam persembahan kami. Apatah lagi Ari Lasso merupakan antara penyanyi hebat di Indonesia. Saya sendiri kagum dengan kemantapan vokalnya yang luar biasa.

“Malam ini, sebagai tanda penghargaan, saya cuba nyanyikan lagu-lagu Dewa 19 dengan sehabis baik mungkin,” kata Dedy sambil diberi tepukan gemuruh penonton yang hadir.

Apa yang boleh dirumuskan, peminat cukup terhibur dengan aksi mereka malam itu. Hampir kesemua lagu Andra & The Backbone dinyanyikan bersama-sama.

Bagi Dedy pula, walaupun persembahan pada malam itu berskala kecil, namun tetap menjadi antara persembahan terindah yang pernah dilakukannya bersama Andra & The Backbone.

Menghampiri hujung persembahan, tidak lengkap jika mereka tidak menyanyikan lagu-lagu hit seperti Sempurna, Musnah dan Hitamku.

“Rantaian lagu-lagu dinyanyikan ini membawa kami ke Malaysia. Menjadikan kami mula dikenali dan akhirnya bertemu dengan peminat di sini,” kata Dedy sebelum disahut teriakan dan tepukan gemuruh peminat.

Usai konsert, Andra & The Backbone sempat mengambil gambar bersama-sama dengan peminat sebagai simbolik penghargaan buat sokongan yang diberikan selama ini.

Mahu datang lagi

Ditemui selepas konsert berakhir, Dedy selaku anggota kumpulan memberitahu, dia sememangnya mahu bertemu lagi dengan peminat tempatan dan kali ini dengan skala yang lebih besar.

“Kita sentiasa suka untuk bertemu dengan peminat di Malaysia dan jika ada penganjur yang mahu bekerjasama untuk konsert yang besar, kami sentiasa bersedia,” jelas Dedy.

Tambah Dedy lagi, buat masa ini mereka sedang menyiapkan single terbaharu berjudul Deja Vu yang merupakan ciptaan Andra.

Lagu tersebut sudah sampai pada fasa akhir rakaman dan akan dilancarkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungan Andra bersama kumpulan asalnya iaitu Dewa 19, menurut gitaris itu, kumpulan itu masih lagi wujud.

“Dewa 19 masih lagi bernyawa cuma kami tidak ada vokalis tetap. Ahmad Dhani pula nampaknya masih sibuk dengan hal-hal peribadinya.

“Tapi perancangan untuk Dewa 19 masih aktif dan terbaharu, kami bakal mengadakan sebuah konsert di Indonesia dan mengambil Ari Lasso selaku vokalis,” jelasnya.