Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah menegaskan yang dia memegang prinsip hidup tentang perkahwinan iaitu hanya berlaku sekali dalam hidup.

Justeru, apabila dirinya memilih seorang lelaki untuk dijadikan pasangan hidup, dia pastinya menjadi lelaki pertama dan terakhir yang dikahwininya.

“Dalam hal kemelut rumah tangga kami ini, saya tidak boleh pentingkan diri kerana perlu memikirkan tentang anak. Tambahan pula, Ayden memang rapat dengan ayahnya. Boleh dikatakan dia selalu mencari Aliff.

“Lagi pun dalam keluarga kami, tidak pernah ada perceraian dan kalau boleh saya mahu mempertahankan rumah tangga.

“Perceraian adalah jalan terakhir buat saya, malah saya tidak pernah terfikir ke arah itu.

“Saya juga pernah memberitahu ibu hanya mahu berkahwin dengan seorang lelaki sahaja dalam hidup,” kata Bella ketika ditemui di majlis Chari-Tea in Love with Farah Nabilah And Friends di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Bella juga menyatakan tidak mahu terlalu memikirkan masalah rumah tangga kerana mahu fokus kepada bisnes biskut raya dan kek.

“Saya tidak mahu terlalu fikir soal itu kerana bisnes menjadi keutamaan. Mengenai rumah tangga, saya hanya berserah dan melakukan beberapa kali solat istikharah.

“Memang orang luar boleh bercakap apa sahaja termasuk mahu melihat saya dan suami bercerai atau tidak. Apa-apa pun keputusan hanya di tangan saya,” katanya.

Sebelum ini Bella mendedahkan kecurangan Aliff Aziz dengan pelakon janda anak satu, Octavia Manrose ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran drama bersiri Dosa Itu Miliknya.

Aliff juga pernah didakwa curang dengan adik pelakon Anzalna Nasir iaitu Afifah Nasir.

Ketika ini pasangan i Bella dan Aliff tidak lagi tinggal sebumbung namun masih berhubung demi anak.

Bella dan Aliff bernikah pada 9 September 2016 dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Mohamad Ayden Adrean yang berumur setahun sembilan bulan. - UTUSAN ONLINE