Malah Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, menjadi penanda aras kepada banyak  lelaki yang mahu mencari calon isteri. Comel, ayu, lemah lembut dan cara bercakap pun sarat dengan sopan santun, siapa pun pasti mudah jadi terpikat dengan anak dara yang seorang ini. 

“Jika ada lelaki menjadikan saya sebagai penanda aras dalam mencari isteri, terpulanglah

 

kepada mereka. Setiap orang ada pandangan berdasarkan apa yang mereka rasa.

“Apa yang mereka lihat itu hanyalah daripada luaran. Mereka bukan kenal saya secara peribadi, hanya dalam televisyen atau media sosial. Iyalah, apa yang saya tunjuk kepada orang luar bukan seratus peratus diri saya  sebenar.

“Tambah pula dengan imej saya yang bertudung, orang di luar sana selalu mengharapkan sesuatu yang baik-baik dan ini menyebabkan saya perlu menjaga banyak perkara. 

“Jujurnya, kadang-kadang saya tersepit untuk menjadi diri sendiri,” kata Mira. 
Punya banyak kelemahan seperti orang lain, Mira mengaku dirinya  tidak sempurna. 

Ada kala dia juga mudah ‘naik darah’ andai ada perkara perkara yang tidak disenangi. Sedar oleh dirinya, itu bukan sikap yang baik.

“ Cuma apabila umur semakin dewasa, saya jadi semakin matang dalam menangani marah dan stres.

“Saya tidak suka marah-marah yang hanya boleh memburukkan lagi keadaan,” ceritanya. 
Hidup bagi Mira adalah mudah jika ia tidak  dipayahkan. Tipsnya begini : Sesuatu yang sulit jangan terlalu jauh dibawa ke pemikiran, diperam hingga ke malam. 

“Sebaliknya ambil mudah agar kita sendiri tidak tertekan dan menganggu emosi diri. 
“Bukanlah bermaksud kita lepas tangan apabila ada masalah, tetapi lebih kepada menyelesaikannya dengan lebih tenang, jangan ribut, usah kalut.

“Kalau saya marah, saya lebih suka berdiam diri dan perasaan marah itu akan hilang dengan solat dan melakukan apa yang kita suka,” kongsinya.

 

Isteri seperti saya? semoga berjaya

Apa agaknya yang membuatkan lelaki tertarik kepada Mira Filzah? Adakah karakter luarannya sama seperti gambaran yang ditunjukkan ketika dalam lakonan? 

Bagi Mira sendiri, orang luar sana tidak mengenalinya secara dekat sebaliknya hanya bersandarkan kepada karakter dalam drama. Sering membawa watak wanita baik-baik, itu juga yang dikaitkan sebagai dirinya yang sebenar. 

“Lelaki di luar sana melihat saya seorang yang nampak lemah lembut, kalau ketawa pun suara tidak tinggi, sederhana sahaja. Agaknya ciri-ciri ini antara sebab mereka cakap saya sopan dan sesuai dijadikan isteri.

“Hakikatnya, saya sebenarnya seorang yang tegas, garang, suka berdikari dan komited dengan kerja. Di sebalik orang nampak saya lembut, saya sebenarnya ada pendirian yang kuat dan tidak boleh diperkotak-katikkan. 

“Namun, kalau ada lelaki yang mahukan seorang isteri yang punya ciri-ciri seperti saya, saya doakan semoga mereka dikurniakan isteri solehah yang baik luar dan dalam,” katanya.

Mesej lucah enggan dilayan

Seperti mana yang pernah berlaku kepada artis-artis lain sebelum ini, Mira Filzah turut terkena tempias sejak diri berada di kemuncak popular. 

Sungguh dia berasa cukup tidak selesa apabila  ada sesetengah warganet seringkali menghantar mesej berbaur lucah kepadanya.

Biasanya si manis ini memilih untuk ‘bertoleransi’ dengan warganet. Tidak kisah langsung dikritik walaupun misalnya dikatakan hanya menjual rupa paras, lakonan kayu dan seribu satu lagi hal kurang manis di pendengaran. Dia kekal dalam sabar. 

 

“Bahkan, saya tak padam langsung komen tersebut sebab saya hendak baiki kelemahan diri sendiri juga. Namun, saya tidak boleh terima atau sangat bertegas apabila diganggu mesej-mesej berbaur lucah. Saya tidak ‘melayan’ mesej-mesej sebegitu. Jadi, sebelum mereka bertindak melampau, saya akan sekat dari laman sosial awal-awal lagi, enggan melayan,” katanya, berkongsi rasa. 

Jadi, dia memilih untuk sangat berhati-hati  dalam memuat naik gambar dalam media sosial. Ini penting dalam menjaga hati keluarga dan tidak mahu mencetuskan sesuatu yang negatif. 

“Tetapi  dalam berwaspada itu, masih ada yang cuba mencari kesalahan. Biasalah, tidak semua orang sukakan kita.

“Andai kata berlaku penyalahgunaan gambar atau video saya juga, itu di luar kawalan. Apa yang penting, saya sudah tapis dan berjaga-jaga, itu lebih baik,” ujarnya lagi.

Mereka jejaka tak kedekut

Walaupun sudah beberapa kali menafikan punya hubugan cinta dengan Zizan Razak dan Remy Ishak, peminat tetap mengharapkan sesuatu. Kedua-dua jejaka itu dianggap jodoh yang sesuai, tinggal lagi Mira haruslah memilih salah satu. 

Tahu peminat mahu melihat dirinya  bahagia, Mira amat berterima kasih untuk doa itu.

“Mungkin disebabkan saya ni belum berkahwin, jadi mudah untuk orang kaitkan saya dengan sesiapa sahaja. Semua selebriti bujang akan melalui situasi ini,” katanya yang akan muncul bersama Remy Ishak menerusi filem Sangkar bermula 29 Ogos ini. 

Bekerjasama dengan pelakon punya ramai ‘penggila’ seperti Zizan dan Remy, adalah sesuatu yang biasa untuk mereka ini saling ‘dijodohkan’. 

Malah yang lucunya,  ada peminat sanggup mencipta akaun media sosial khas untuk Mira dan lelaki-lelaki yang digosipkan dengan dirinya.

“Saya belajar tentang pengacaraan dengan Zizan. Begitu juga Remy, sangat seronok bekerjasama dengannya dalam setiap kerja kami, tak rasa kekok. Mereka tidak kedekut ilmu dan selalu beri tunjuk ajar kepada saya dalam hal kerja. 

“Walaupun baik, kami tidak akan keluar bersama-sama tanpa sebab atau sengaja mahu mencetuskan kontroversi.  

“Sekali lagi nak jelaskan, buat masa ini saya masih solo, mereka bukan kekasih saya,” jelas Mira, kali ini dengan tonasi suara lebih serius. 

Sangkar

MEMBAWA watak sebagai Memey, seorang jururawat, Mira  satu-satunya ‘bunga’ dalam filem tersebut. Wataknya sebagai adik kepada Johan ‘The Jedi’ Kamaruddin, ahli di bidang seni pertahanan diri campuran (MMA).

Sangkar bercerita tentang kisah Adam dan Johan yang bertarung sehingga menyebabkan Johan cedera parah. Untuk menebus kesalahan, Adam kembali bertarung di jalanan demi mendapatkan habuan untuk membantu Johan sekeluarga.

Selain Remy Ishak dan Zul Ariffin, barisan pelakon lain yang terlibat ialah Fadlan Hazim, Ray, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh. Filem ini turut menampilkan atlet peninju profesional MMA, James “Sledgehammer” Mcsweeney .