Terkini, Datuk Seri Mahadi Badrul Zamani menerima anugerah The Jewels of The Muslim World 2019 sempena Persidangan Muslim World Biz Kesembilan anjuran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Lebih membanggakan apabila beliau menjadi penerima anugerah paling muda antara enam penerima yang berasal dari 57 negara Islam di dunia.

Tidak sangka dengan anugerah yang diterimanya, Mahadi meluahkan rasa syukur dan menganggap ia sebagai pengiktirafan di atas segala usahanya membangunkan khidmat perundingan berkaitan dunia saham dan pelaburan.

“Penerima anugerah adalah dari pelbagai industri dan diiktiraf atas pencapaian cemerlang mereka yang memberi kesan positif kepada kehidupan harian rakyat.

“Dari situ saya percaya dengan apa yang diberikan oleh syarikat FGG memberi kesan kepada masyarakat di luar sana dan ini membantu melayakkan saya untuk anugerah Jewels.

“Apa yang membuatkan saya lagi terharu ialah dipilih antara enam individu dari 57 negara Islam di dunia yang terlibat dalam acara ini. Malah saya dikira yang termuda menerimanya,” kata anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Anugerah The Jewels of The Muslim World Award 2019 adalah sebagai salah satu usaha bagi mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan pencapaian individu dalam meningkatkan ekonomi umat Islam antarabangsa.

Antara individu hebat yang pernah menerima anugerah Jewels of The Muslim World ini ialah peninju legenda Muhammad Ali berasal dari Amerika Syarikat, ulama Islam, Mufti Ismail Menk (Zimbabwe) dan penyanyi serta penulis lagu Sami Yusof (United Kingdom).

Pelabur dan dermawan Putera Al-Waleed Talal (Arab Saudi), ahli perbankan dan kewangan terkenal Amer Bukvic (Bosnia Herze­govina) serta Tan Sri Dr. Yusof Md. Noor (Malaysia) turut pernah menerima anugerah itu.

SUDAH 16 tahun bergelumang dalam bidang saham dan pelaburan, Mahadi berasakan usahanya masih belum cukup bagi memuaskan hasrat hatinya.

Tidak mahu terus berasa selesa dengan kedudukan sekarang, beliau mahu membantu orang lain baik golongan belia yang belum punya kerjaya tetap atau golongan bekerjaya.

“Saya suka subjek Matematik. Pendek kata dalam kepala ini asyik fikir tentang nombor saja. Jadi, melalui syarikat ini saya membantu dari segi memberi tip bagaimana menguruskan kewangan golongan yang ingin mengubah kehidupan mereka,” kata lelaki berusia 36 tahun ini.

Meskipun pernah berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk stigma dan pemikiran skeptikal segelintir masyarakat terhadap dunia pelaburan, Mahadi tidak pernah mengalah dan terus bersemangat dalam menjayakan misinya.

Antara dugaan yang pernah dilaluinya ialah berdepan tanggapan negatif sesetengah pihak seperti penipuan skim cepat kaya. “Jadi, orang yang buat bisnes yang betul seperti saya secara tidak langsung terkena tempiasnya. Tapi itu semua sikitpun tak pernah membuatkan saya berasa putus asa.

“Lagipun bisnes yang kami jalankan ini telah mendapat pengesahan pihak berkuasa,” tuturnya yang kini memiliki lebih 5,000 ahli melalui FGG yang menyediakan servis menguruskan kewangan secara Islamik dan menawarkan bimbingan profesional. Hasil usaha dan teknik genius yang dipraktikkan dalam perniagaan yang dijalankan, Mahadi sudah boleh tersenyum bangga kerana FFG bukan saja antara syarikat perundingan yang mendapat kepercayaan masyarakat, malah semakin berkembang maju.