Penyanyi pop rock itu, Sinead O’Connor berkata, dia sebenarnya telah memeluk agama Islam pada Disember lalu selepas melakukan kajian terhadap pelbagai kitab agama.

O’Connor yang memilih nama Shuhada Sadaqat bagaimanapun berkata, dia hanya memakai hijab sekiranya berasa ingin melakukannnya dan tidak membuat satu ketetapan buat dirinya mengenai pemakaian tersebut.

“Dulu saya mempunyai perasaan prejudis terhadap agama Islam tetapi selepas membaca kitab suci al-Quran, saya menangis dan tersedar yang saya sudah menemui ‘rumah’ yang sebenar.

“Muslim sejati ialah apabila seorang individu yang percaya tiada perkara lain patut diagungkan kecuali tuhan,” katanya memetik laporan Metro UK di sini hari ini.

O’Connor pernah mencetuskan kontroversi pada 1992 apabila mengutuk penderaan kanak-kanak yang didakwa dilakukan pihak gereja ketika tayangan secara langsung program Saturday Night Live. – UTUSAN ONLINE