Acara yang diberi nama 2019 Kim Jae Hwan Fan Meeting Mind:D itu sepatutnya berlangsung pada pukul 6 petang tadi di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam.

Bagaimanapun, ribuan peminat mula resah kerana sehingga pukul 6.30 petang pintu stadium masih tidak dibuka.

Kekecewaan peminat semakin memuncak sebaik wakil penganjur muncul pada pukul 6.40 petang dan mengesahkan hasrat mereka untuk menyaksikan persembahan dan sesi bertemu dengan penyanyi berusia 23 tahun itu tidak menjadi kenyataan.

Malah lebih teruk, cara pihak penganjur iaitu Macpiepro mengumumkan pembatalan acara itu langsung tidak profesional.

Seorang wakil daripada mereka hanya menjerit menyatakan acara itu dibatalkan.

Maklumat itu bagaimanapun tidak dapat didengar dengan jelas memandangkan pihak penganjur tidak menggunakan alat pembesar suara.

Konsert Kim Jae Hwan
 

Sejurus selepas itu suasana di luar pintu masuk stadium kecoh dan peminat mula meluahkan rasa tidak puas hati mereka kerana merasa tertipu.

Mereka mula menjerit memanggil nama Kim Jae Hwan sebagai tanda protes terhadap pihak penganjur yang seolah-olah ‘lepas tangan’.

Sementara itu, pihak penganjur mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca sebenar pembatalan acara tersebut kerana gagal mendapatkan permit daripada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, pembatalan acara ini secara spontan mengingatkan peminat kepada insiden pembatalan konsert Twice pada tahun lepas juga pada tarikh yang sama seperti hari ini.

Lucunya, ada peminat yang menamakan tarikh hari ini sebagai tarikh keramat hitam. - UTUSAN ONLINE