Bukan mudah sebenarnya menerima hakikat kehilangan insan tersayang apatah lagi dalam bulan yang penuh dengan kemuliaan. Tapi jika sudah janji-Nya begitu, tiada siapa yang dapat menolak takdir yang Datuk A. Rahman Hassan sudah tiada.

Tentu sekali seluruh emosi tertumpah kepada anaknya Khir, yang juga mewarisi darah seni A. Rahman dan Allahyarham Datin Azizah Mohamad yang terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi pada 26 April 2013 akibat barah rahim.

Bersama kumpulan Orkes Nirwana, mereka sudah mengembara merentas masa. Siapa sahaja yang tidak mengenali pasangan suami isteri ini?

Meski kepada peminat generasi baharu, nama A. Rahman dan Datuk Jeffrydin, A. Ramli (sekadar menyebut beberapa nama) terus diingati sebagai antara bintang pop yeh-yeh yang diingati.

Pemergian Azizah sebenarnya sudah membawa separuh kedukaan tatkala menyebutkan Orkes Nirwana. Tiada lagi suara merdu wanita ini mendendangkan lagu Syurga Idaman dan Pergilah Kandaku yang diminati ramai.

Kini duka kehilangan Azizah bersambung lagi dengan pemergian A. Rahman pada 13 Jun lalu, kira-kira pukul 12.40 pagi di Hospital Ampang, Selangor.

Berlaku pendarahan dalam otak akibat serangan strok yang menjadi punca kehilangannya. Allahyarham pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat masalah jantung beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu.

Empat tahun lalu, Allahyarham berkahwin dengan Datin Fadzilah Mansor dan meninggalkan dua orang anak (perkahwinan bersama Azizah).

MESRA

KEHILANGAN penyanyi yang berusia 73 tahun ini sebenarnya membawa kedukaan yang besar kepada seluruh industri. Sudah berpengalaman bergelumang dengan dunia hiburan pada tahun 1960-an, A. Rahman bagai sebuah pusat rujukan umum.

Allahyarham bukan sahaja menjadi tempat pelbagai pihak mendapatkan nasihat tetapi bagaikan api yang tidak pernah padam yang terus menghiburkan peminat sehingga ke akhir hayat.

Sudah tentu pengalaman menyaksikan sendiri perubahan muzik tempatan dari era 1960-an kepada era 1970-an dan disambung dengan kebangkitan kumpulan rock serta lagu tangkap leleh 90-an.

Sikap merendah diri yang ditunjukkan sudah cukup menggambarkan keperibadian sebenar dirinya.

A. Rahman tidak pernah sombong dan meninggi diri meskipun namanya besar. Bagi kebanyakan wartawan generasi baharu, layanan mesra terus diberikan meskipun baru pertama kali bertemu.

Bila mengenangkan kembali apa yang dikatakan oleh Khir mengenai bapanya yang mahu dia menjaga adab, benar, itu juga yang menjadi pegangannya sampai ke akhir hayat.

Sepanjang hidupnya, Allahyarham turut diberikan kepercayaan menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang dipimpin oleh Datuk DJ Dave.

Jika ada dalam kalangan anak seni yang terlantar, merekalah yang terlebih dahulu menziarahi. Kini sosok tubuh lelaki kacak berkaca mata hitam itu akan terus dirindui sampai bila-bila.

A. Rahman tiada lagi. Allahyarham akan terus dirindui sampai bila-bila. Al-fatihah...