Dr. Tazul Izan Tajuddin

Dekan Fakulti Muzik UiTM, Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin memberitahu, dua pertandingan itu ialah Choir Competition Ad Astra International Copernicus Choir and Festival di Torun, Poland dan Johannes Brahms Choir Festival and Competition di Wieneigrode, Jerman.

Selain itu kata, Dr. Tazul Izan, pasukan UCC itu juga akan mengadakan satu persembahan di Innsbruck, Austria yang merupakan sebahagian daripada siri jelajah dunia UCC kali keenam.

"Pasukan ini terdiri daripada 30 ahli, seorang pengurus, dua orang pensyarah yang diketuai oleh saya," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Poland malam tadi.

Katanya, ini merupakan kali kelima UCC yang dibimbing oleh konduktor, Dr. Masashi Kishimoto menyertai pertandingan peringkat dunia.

Pada tahun lalu katanya, pasukan itu telah menyertai pertandingan di Rom, Itali dan telah muncul sebagai juara.

Sebelum itu kata Dr. Tazul Izan, UCC telah mengambil bahagian di Bali, Indonesia; Republik Czech dan Greece.

Beliau berkata, sebagai persiapan untuk siri jelajah dunia dan menyertai pertandingan di Poland dan Jerman itu, UCC telah menyertai pertandingan Malaysian Choral Eisteddford yang diadakan di Kuala Lumpur pada Jun lalu dan telah muncul sebagai juara kategori terbuka.

Pasukan koir UiTM, UiTM Chamber Choir (UCC)  yang berlepas ke Poland melalui KLIA malam tadi bagi menyertai dua pertandingan bertaraf dunia.

"Untuk pertandingan di Poland dan Jerman ini, kami akan melakukan yang terbaik untuk menang kerana kami bukan sahaja membawa nama UiTM terutama Fakulti Muzik UiTM, tetapi juga nama Malaysia.

"Ini merupakan pertandingan bertaraf dunia dengan pasukan yang bertanding semuanya hebat-hebat. Untuk itu kami akan melakukan yang terbaik dengan harapan untuk mendapatkan kedudukan yang terbaik," katanya sembil memberitahu UCC akan berada di Eropah hingga 13 Julai ini bagi menjayakan misi tersebut. - UTUSAN ONLINE