Pada pandangan umum, Sarah seolah-olah terpukau dengan limpahan sinar populariti yang menyimbah tubuh gadis genit itu.

Begitupun, penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Pedih itu mempunyai sudut pandang berbeza dalam menimbang situasi tersebut sekali gus menghindarkannya daripada terjerumus ke kancah permasalahan sosial.

“Jujurnya sukar untuk menggambarkan posisi dan kedudukan saya dalam industri di kala ini.

“Cuma, saya panjatkan rasa penuh kesyukuran atas setiap kesenangan dan kesempatan yang dinikmati sepanjang bertapak dalam bidang seni selaku seorang penyanyi baharu,” tuturnya merendah diri.

Di sebalik kemasyhuran dikecapi, Sarah akui bukan mudah baginya yang disifatkan hijau itu untuk mengatur strategi sementelah menyedari masih mentah dengan selok-belok industri.

“Apapun, rencana seni saya berjalan lancar tanpa perlu berhadapan dengan sebarang masalah serius. Alhamdulillah.

“Akan tetapi biarpun tiada dugaan berat menimpa, saya kena sentiasa beringat bahawa segala nikmat kurniaan Allah juga adalah satu bentuk ujian daripada-Nya,” jelas Sarah menetapkan pendiriannya.

Dedah Sarah, dia pernah melalui fasa kejutan budaya sebaik sahaja gelaran juara menjadi miliknya dalam pertandingan nyanyian terbitan Astro itu.

Mujur bapa Sarah cekap bertindak sebagai penasihat utama manakala janjinya kepada ibu dijadikan pegangan dalam mengharungi onak dan liku untuk bergelar anak seni.

“Saya harus jaga dan pertahankan maruah keluarga. Itu janji yang telah dilafazkan dan berdoa agar dapat dikotakan,” kongsi Sarah.

Tatkala kebanyakan rakan sebayanya bebas menghabiskan masa dengan menjadi diri sendiri, hakikatnya Sarah langsung tidak menyesali apabila ruang privasinya terpaksa dikorbankan demi menjalani kehidupan seorang selebriti.

“Sedikitpun saya tidak menyesal. Lagipun saya menetap bersama keluarga di Rawang, Selangor.

“Saya gembira dengan kehidupan kini biarpun dipantau oleh kedua-dua orang tua.

“Tiada apa yang perlu dikesalkan, bahkan bertuah kerana dapat sentiasa di sisi mereka,” jelasnya yang baru sahaja tampil dengan single terkini berjudul Rise And Fall.

“Nukilan Sharon Paul dan Shah Shamshiri ini merupakan sebuah lagu semangat yang boleh dihayati semua golongan,” tambah Sarah mengulas karya balada yang diakui mencabar kredibiliti vokalnya itu.