Dek kesibukan waktu menguruskan sendiri empat zuriatnya menjadi kekangan utama mengapa dia terpaksa memendam rasa untuk seetika waktu demi memastikan keperluan anak-anak dipenuhi.

Lisdwati atau nama penuhnya Nisdawati Nazaruddin mahu kembali segar dalam industri tanah air seperti mana waktu pertama kali menjejakkan kaki dalam arena ini 19 tahun lalu.

“Alhamdulillah, anak bongsu dah berumur setahun jadi saya rasa lega sedikit untuk kembali bekerja.

KUALA LUMPUR , 19 JULAI 2019 - Fotografi artis rakaman rancangan

“Dulu di awal kehamilan hingga melahirkan, memang saya ambil cuti panjang daripada berlakon.

“Cukuplah hampir dua tahun bercuti, saya rasa sudah bersedia untuk masuk set penggambaran pada tahun ini,” katanya bersyukur masih lagi menerima tawaran lakonan.

Menurut pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu, perasaan untuk kembali berlakon didorong atas niat mahu membantu ekonomi keluarga.

Menganggap bidang cari makannya ini ada pasang surutnya, justeru itu wanita berusia 40 tahun itu tidak mahu terus goyang kaki di rumah.

“Selain nak jumpa kawan-kawan artis, sebenarnya saya nak cari duit tambahan sebab bekerja dalam bidang ini umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Orang nampak macam bahagia dan indah tapi ada risikonya. Bekerja ada duit, tak bekerja tiadalah pendapatan.

“Kerja anak seni macam kita ini, tiada cuti sakit dan cuti bersalin. Itulah risiko dalam bidang artis ini,” luahnya.

Tetapkan syarat pada anak

ISTERI kepada aktor Fauzi Nawawi ini sebolehnya tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkah mereka berdua dalam bidang seni.

Merasai sendiri keperitan bergelut dalam industri membuatkan mereka berdua tidak mahu anak-anak turut merasai pengalaman sama.

Cukuplah hanya mereka sahaja yang berada dalam bidang ini, Lisdawati tidak menggalakkan anaknya menjadikan dunia seni sebagai kerjaya tetap.

“Saya galak anak-anak belajar tinggi-tinggi dan jangan pilih bidang ini (seni). Memang mereka ada darah seni daripada kami berdua tetapi kalau sekadar minat, saya okay.

“Tetapi saya tetap beritahu, ini boleh jadi kerja sampingan atau hobi sahaja. Jika untuk masa depan, lebih baik pilih kerjaya tetap yang memang ada gaji bulanan.

“Susah sebenarnya kerja sebagai anak seni ini sebab kita tak ada slip gaji. Bila nak beli aset, pihak bank mesti nak tengok slip gaji yang pada akhirnya akan memberi kesulitan pada kita,” rintihnya.

Atas sebab itu, dia mendidik anak-anaknya untuk terus belajar selagi mampu dan memilih kerjaya yang lebih memberi masa depan cerah.

“Saya ajar anak-anak jangan jadi pendatang dekat tempat sendiri. Sedangkan pendatang asing yang datang ke negara kita, mereka mampu beli rumah dengan harga tunai.

“Saya selalu pesan pada mereka, belajar pandai-pandai bila ada rezeki nanti dah kerja boleh beli rumah. Biar rumah kecil tapi itu rumah kita sendiri.

“Kalau mereka nak juga cuba bidang seni, saya ada letak syarat iaitu kena belajar al-Quran sehingga khatam.

“Bila baca al-Quran sampai habis, maknanya mereka faham dan insya-Allah tak akan sesat. Sebab dalam bidang ini jika tiada panduan hidup, mereka boleh sesat,” katanya.

Lisdawati berkahwin dengan Fauzi dan memiliki empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana 11, Nur Aina Fazneesya, 10 dan Ahmad Nur Fyrdaus, 5, Ahmad Nur Fayyadh, 1.

Sebelum ini, Fauzi turut memiliki empat anak hasil perkahwinan terdahulu.