Sesungguhnya segala norma dan kelaziman sinema Hollywood hanya membataskan bukan sahaja apresiasi khalayak, tetapi juga kreativiti karyawan. Selain itu, siapa yang dapat menafikan kejayaan Hollywood dalam mencorak, mewarnai atau membina pemikiran dan pandangan sarwa (worldview) masyarakat? Sehingga kita akan resah-gelisah menonton filem-filem yang menyimpang daripada orientasi struktur dan teknik perfileman Hollywood.

Sejarah sinema dunia telah perlihatkan gerakan Third Cinema yang diperjuangkan oleh pembikin filem Amerika Selatan sekitar era 1960-an dan 1970-an. Mereka menganjurkan usaha menyahkolonisasikan filem pada tahap bentuk (form) dan kandungan dengan menyanggah sinema dominan seperti Hollywood dan Eropah. Yakni, yang lahir daripada dan bergelut dengan kondisi-kondisi pascakolonial seperti kemiskinan dan kemunduran. Estetika Third Cinema turut dikenal pasti dalam filem-filem garapan pengarah Senegal (Ousmane Sembene), pengarah Burkina Faso (Gaston Kaboure) dan pengarah Benggali/India (Ritwik Ghatak). Selain Third Cinema, ranah akademik perfileman (film studies) muncul dengan mempermasalahkan konsep ‘sinema nasional’ yang di Malaysia sering difahami secara dangkal dan sempit. Antaranya sebagai label kepada filem yang dipahatkan kriteria tertentu secara preskriptif (tanpa wacana dan perbahasan), justeru menjadikan konsep ini difahami seperti label ‘zoo negara’ atau ‘baju kebangsaan’.

Sebenarnya perlu dipersoal dan dipertikaikan alasan tentang keperluan sebuah ‘sinema nasional’ jika pada tahap wacana kenegaraan, banyak pihak kurang berminat untuk mengangkat Malaysia sebagai sebuah ‘bangsa’ (nation) disebabkan kecenderungan kepada dan memperjuangkan konsep ras (race), satu legasi yang berakar-umbi dalam dan dikonstruksikan amalan penjajahan (malah, di Malaysia, istilah ‘bangsa’ seringkali disempitkan maksudnya dengan merujuk kepada ras). Maka, tidak hairanlah jika menerusi pengalaman penontonan peribadi, penulis menyaksikan yang konsumsi filem-filem (sama ada tempatan atau luar negara melainkan Hollywood) masih dipisahkan mengikut etnik dan bahasa (linguistik).

Banyak kes amalan sinema nasional negara lain sering merujuk usaha memelihara industri dan budaya perfileman tempatan, supaya dapat bersaing dengan filem-filem negara luar. Namun, di Malaysia usaha membangunkan masyarakat (yakni khalayak) hampir atau jarang sekali disentuh. Sememangnya salah satu pendekatan ‘sinema nasional’ ini pun sebenarnya bertumpu kepada penelitian terhadap khalayak sebenar yang mengkonsumsi dan menikmati filem-filem tempatan. Pendekatan ini menghujahkan bahawa aspek khalayak memainkan peranan penting dalam mentakrifkan sesebuah ‘sinema nasional’ itu. Malah, semenjak lebih empat dekad industri filem Malaysia cuba dibangunkan (bermula awal 1980-an), aspek pembinaan khalayak kurang diberi penekanan. Jika disentuh, rata-ratanya hanya berlegar kepada aspek keinstitutan secara ekonomi dan teknologi semata-mata.

Penulis berpandangan bahawa asas kepada usaha memerdekakan sinema (malah, semua budaya dan bentuk kesenian) sepatutnya bermula dengan membangunkan masyarakat secara intelek dan budayanya. Usaha dan kesedaran ini hanya dapat dijayakan menerusi pengisian pendidikan yang memberi penumpuan dan penekanan terhadap ilmu kemanusiaan (yang sudah berdekad lamanya dipinggirkan sistem pendidikan kita). Hal ini sebenarnya mengasaskan kepada usaha membangunkan tahap kecelikan (literasi) dan apresiasi yang baik dalam kalangan khalayak masyarakat terhadap sebarang karya seni (termasuk filem) yang dinikmati. Maka pilihan dan cita rasa mereka menjadi lebih rencam dan terbuka, seimbang dan menyeluruh, kritis dan sofistikated. Yang diharapkan, selain filem-filem dari Barat, terutamanya Hollywood, khalayak dapat dicelikkan dengan, dan mengapresiasi banyak filem bermutu dunia lain dari Amerika Latin, Afrika, hingga ke Asia.

Sebenarnya tidak ada salahnya menggemari filem-filem Hollywood, tetapi didapati khalayak Malaysia hari ini daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa, terlalu berpasak kepada Hollywood. Menerusi pemerhatian penulis, kelompok peminat tegar atau pencinta sinema di Kuala Lumpur (kebanyakannya) juga rata-ratanya cenderung kepada Hollywood (dan sedikit jauh pun filem independent Amerika, Eropah dan Rusia). Sedangkan pendedahan terhadap sinema Asia (selain India, Hong Kong dan Korea Selatan) dan Afrika hampir tiada di Malaysia. Apatah lagi pendedahan dan apresiasi terhadap sinema negara jiran dan serantau (dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, hingga ke Vietnam, Kemboja, Myanmar) yang sebenarnya penting dalam turut memahami dan mengapresiasi sinema Malaysia yang, seperti juga Malaysia (sebagai sebuah negara-bangsa) tidak tercipta dalam vakum. Masing-masing terbentuk menerusi jalur sejarah budaya dan politik yang berliku, bercabang, berlapis lagi kompleks.

Gesaan dan seruan penulis bukanlah bertujuan mendendangkan sentimen anti-Hollywood atau anti-Barat. Kita masih perlu menonton dan meneliti filem-filem Anglo-Amerika dan Eropah supaya tidak dibaluti semangat nasionalisme atau patriotisme yang jumud atau dogmatik sifatnya. Yang akhirnya melibatkan nyahkemanusiaan dan menjadi antitesis kepada makna kemerdekaan itu sendiri. Namun, dalam keterbukaan kita, biarlah ada satu bentuk keseimbangan dan rundingan (negotiation) dalam mengkonsumsi dan menikmati karya filem. Ia perlu berlaku pada beberapa peringkat. Antara lain, filem sepatutnya membebaskan kita daripada belenggu polarisasi ras (kaum) legasi kolonialisme, selain melepas keluarkan daripada kepompong imperialisme sinema hegemonik (seperti Hollywood, Bollywood).

Pada era digital hari ini, dengan keluwesan, kemudahan dan mobiliti konsumsi terhadap filem, para peminat dan khalayak filem lebih mudah mendapatkan akses terhadap sinema dunia. Jika tidak pun boleh bertandang ke pelbagai siri festival filem (antarabangsa) bawaan rangkaian pawagam GSC, di samping tayangan filem skala kecil-kecilan anjuran kelab dan komuniti filem/ seni di sekitar dan luar Lembah Klang. Justeru, kita boleh memulakannya (secara individu) dengan cuba mendidik, memberi peluang dan mendedahkan diri sendiri kepada pelbagai bentuk dan pendekatan filem yang merentas bahasa (linguistik), representasi budaya, ideologi, dan negara supaya cita rasa serta selera sinematik kita melampaui filem-filem superhero Marvel atau Bollywood seperti Dilwale.