Kata janda cantik dan popular ini, sekiranya tertulis takdir akan ada jodoh lagi untuknya dengan lelaki lain, dia berharap kekal bahagia sampai ke syurga.

“Setakat ini memang ada kenalan atau kawan baik lelaki, tapi tak jumpa yang sesuai dibuat suami. Setakat berkawan itu tak ada masalah.

“Pengalaman lalu mengajar saya untuk lebih memilih atau berhati-hati. Kalau ada yang menyangka saya sudah serik dengan lelaki dan perkahwinan, itu tidak betul. Saya pasrah jodoh lalu tak panjang. Tak mahu mengimbas semula segala yang sudah berlalu.

“Kini saya mencari pasangan yang berkualiti dalam serba- serbi dari bab cinta sampailah ke hal tanggungjawab yang boleh membimbing saya bukan sahaja hal-hal di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

Ezlyn

“Dan besar harapan saya hendak punyai anak. Usia pun sudah hendak menginjak ke angka 40 dalam dua tahun lagi,” cerita Ezylnn yang pernah popular dengan lagu Hai Hai Bye Bye.

Terbaharu Ezylnn sedang mempromosikan lagu terkininya, Goyang.

“Saya harap single ini bukan saja diterima ramai setelah saya kembali beraksi dalam dunia hiburan, tetapi juga akan berjaya di Muzik-Muzik sampailah ke final Anugerah Juara Lagu.

“Selain sibuk menyanyi saya juga mengusahakan perniagaan sampingan iaitu menjual jamu Aura Kasih yang diusahakan dengan rakan-rakan.

“Saya pun mengamalkan jamu itu setiap hari untuk tambah bertenaga, menjaga kecantikan kulit dan rambut.

“Saya pernah menjalani pembedahan lutut pada tahun lepas. Dulu saya jenis ligat dengan aktiviti lasak mengayuh basikal jarak jauh, mendaki bukit dan gunung sampai dua lutut saya bermasalah, sakit bila berjalan.

“Untuk kembali bertenaga saya menjaga makan minum termasuk mengamalkan jamu.

“Sekarang sudah boleh kembali menari dan bersenam, tetapi tak boleh terlalu lasak macam dulu. Kalau nak berpeluh, menari atau di gimnasium sahaja,” akuinya.