Majlis penuh meriah itu menyaksikan dua keluarga bakal disatukan pada September ini, tarikh yang dipilih oleh mereka berdua untuk bergelar pasangan suami dan isteri.

Bergelar tunangan orang, Nadia mengakui tempoh tersebut adalah proses untuk dirinya membuat persediaan dan memperbaiki kelemahan untuk menjadi isteri yang terbaik buat Muiz.

“Ia merupakan satu perubahan besar dalam hidup saya kerana tidak lagi hanya memfokus untuk diri sendiri, sebaliknya kehidupan baharu pastinya akan memberi warna berbeza.

“Selepas bernikah, saya perlu mengutamakan suami dalam banyak hal. Tidak boleh pentingkan diri sendiri.

“Antara perubahan yang perlu saya buat ialah kena belajar memasak makanan kegemaran Muiz. Mujur juga dia tidak cerewet tentang makanan,” kata Nadia.

Mengakui dirinya tidak handal di dapur dan kurang memperuntukkan hal memasak kerana kesibukan di lokasi penggambaran, namun kesemua hal tersebut perlu berubah.

“Selain itu, saya juga perlu menjadi lebih penyabar sebab sebelum ini suka sangat ikut emosi sendiri.

“Jadi, apa sahaja yang kurang elok akan diperbaiki untuk menjadi wanita yang lebih baik. Semuanya untuk kebaikan diri sendiri juga.

“Dalam masa yang sama saya berharap kematangan serta ilmu agama yang ada pada diri Muiz boleh mendidik saya untuk menjadi wanita yang taat kepada suami dan agama,” kata Nadia Brian.

Mengenali bakal suaminya itu menerusi rakan artis, Ainul Aishah dua tahun lalu.

Namun kedua-dua mereka hanya rapat pada Disember lalu. Nadia kemudiannya dilamar secara romantik di hadapan Menara Eiffel, Paris pada Februari lepas yang lantas membuatkan hati Nadia tertambat dengan keberanian jejaka tersebut.

“Antara perkara yang saya suka tentang Muiz kerana kematangan serta seriusnya dia dalam membawa hala tuju percintaan kami. Kami tidak bercinta lama seperti pasangan lain dan Muiz mengambil langkah pantas bertemu dengan keluarga saya.

“Muiz lelaki yang bertanggungjawab dan sentiasa faham kerjaya saya walaupun dia bukan dalam bidang ini,” kata Nadia mengenai tunangnya yang bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat teknologi maklumat.

Dalam majlis pertunangan yang bertemakan alam semulajadi itu, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, menerima lima dulang hantaran dan berbalas tujuh serta sebentuk cincin.

Antara barangan hantaran yang diterima adalah manisan, buah-buahan, kek dan set wangian. Nadia juga menerima sebentuk cincin yang disarungkan oleh ibu Muiz, Nona Suin, 59, sambil diperhatikan oleh ibu Nadia, Husmarita Hussain, 49.

Manakala pihak Muiz pula menerima makanan sunnah, set pewangi, kasut, kek, buah-buahan dan sirih junjung sebagai hantaran.

Dalam masa yang sama, kehadiran tujuh orang nenek daripada sebelah keluarga Muiz yang menyuap manisan kepada Nadia sebagai tanda restu, menjadi momen indah kepada pasangan ini.

Mengenai masa depannya dalam dunia lakonan, Nadia percaya rezekinya masih terbentang luas asalkan dia rajin berusaha.

Soal berkahwin tidak lagi menjadi penyebab popularitinya akan menurun atau hilang kerana keterbukaan peminat seni sudah semakin positif.

“Ramai artis yang sudah berkahwin bertambah popular kerana mereka tahu berkahwin juga antara contoh baik yang harus diikuti,” katanya yang pernah membintangi filem Ratu Kala Jengking dan drama Akulah Balqis, Rahasia Kasih, Mocha Kau Bahagia 2 dan Dendam Aurora.