Dalam majlis yang bertemakan alam semulajadi ini, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, menerima lima dulang hantaran dan berbalas tujuh serta sebentuk cincin.

Cincin bermata satu itu disarungkan oleh ibu Muiz, Nona Suin, 59, sambil diperhatikan oleh ibu Nadia, Husmarita Hussain, 49.

Dalam masa yang sama, kehadiran tujuh orang nenek daripada sebelah keluarga Muiz yang menyuap manisan kepada Nadia sebagai tanda restu, menjadi momen indah kepada pasangan ini.

Selain 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, majlis tersebut turut dihadiri teman rapat pelakon filem Ratu Kala Jengking ini.

Menurut Nadia, majlis perkahwinan mereka kelak dirancang berlangsung pada 19 September depan.

“Tarikh tersebut adalah persetujuan kami sekeluarga atau selewat-lewatnya diadakan pada Februari tahun hadapan,” kata Nadia yang ditemui selepas majlis selesai.

Pasangan Nadia dan Muiz mula berkenalan selepas dipertemukan oleh rakan pelakon Ainul Aishah dua tahun lalu.

Namun Nadia dan Muiz mulai rapat hujung tahun lepas dan dilamar secara romantik oleh jejaka tersebut di hadapan Menara Eiffel, Paris, pada Februari yang lalu.

*Muiz seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan saya rasa bertuah mengenalinya.

“Dia sentiasa memahami diri dan kerjaya saya walaupun bukan dalam bidang ini.

“Apa yang membuatkan saya terharu dia serius untuk berkahwin dengan bertemu sendiri keluarga saya,” kata Nadia mengenai bakal suaminya itu.

Muiz atau nama sebenarnya Mu’izz Nasrddin bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat teknologi maklumat. - UTUSAN ONLINE