Aktor berusia 32 tahun ini bersyukur apabila drama Pujaan Hati Kanda yang ditawarkan padanya Oktober tahun lalu, menjadi permulaan buat dia kembali mencari rentak seni.

“Saya bukan tak ada kerja langsung tahun lalu. Ada juga terima tawaran berlakon filem, teater dan telefilem tetapi tidaklah banyak.

 

“Kalau tahun-tahun sebelum ini saya akan berlakon sekurang-kurangnya empat drama bersiri dalam setahun, tapi pada 2018 perjalanan seni agak perlahan sedikit.

“Pun begitu di sebalik penantian selama 10 bulan tiada kerja, Pujaan Hati Kanda adalah drama rantaian pertama yang saya bintangi tahun lalu,” katanya jujur.

Rentetan daripada kejayaan wataknya sebagai Pali menerusi drama tersebut, kini gerak kerjayanya semakin menderu laju.

“Alhamdulillah sejak awal tahun hingga bulan ini semuanya okay dan sudah beberapa buah drama saya jayakan.

“Untuk Julai pula ada dua drama yang bakal ditayangkan di sebuah stesen televisyen tempatan sudah selesai dilunaskan penggambarannya.

“Saya senang dengan situasi begini dan kembali lega apabila kemunculan di kaca televisyen semakin diterima ramai,” tuturnya.

Bercakap soal masih relevan dalam industri, Syazwan yang sudah lapan tahun aktif dalam industri lakonan tanah air tidak pernah terfikir untuk bersaing lebih-lebih lagi dengan pelapis baharu.

Sebaliknya, apa yang diharapkan adalah kerja seni yang dibintangi sebelum ini menjadi penanda aras sebagai rujukan peminat cerita-cerita tempatan bagi menghargai bakatnya.

Justeru, dia tidak memahami kenapa perlu produser dan stesen televisyen melihat jumlah pengikut seseorang artis dalam media sosial sebelum diberikan tawaran berlakon.

“Saya cuma ada rekod lakonan sebelum ini. Maksudnya drama saya yang orang akan nilai dan pandang bagus atau tidak.

“Saya mengharapkan orang melihat hasil kerja yang pernah ditayangkan kepada umum.

“Jadi saya tidak faham dengan stigma kena tengok angka pengikut dalam laman sosial sebab kebanyakan pelakon sekarang tidak bertahan hanya kerana itu.

“Sepatutnya apabila cerita yang dilakonkan itu bagus dan ada nilai tambah, barulah dia dapat pengikut yang ramai,” luahnya ketika ditemui pada sesi fotografi bagi mempromosikan filem lakonannya, Wangi di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berbicara lanjut mengenai wataknya dalam naskhah arahan Mohd. Latiff Zami itu, Syazwan memainkan peranan sebagai teman lelaki kepada aktres Nabila Huda bernama Azlan.

“Babak saya dalam filem ini tidaklah besar mana. Tetapi saya sukakan plot penceritaannya yang bercorak psiko thriller.

“Di samping itu, saya seronok diberi peluang bekerja dengan nama hebat seperti Nabila, Erra Fazira dan Sharnaaz Ahmad,” kongsinya. Filem tersebut bakal menemui penonton mulai 5 September depan.