Peminat filem pasti tidak dapat melupakan adegan-adegan menyeramkan dalam filem The Conjuring 2 yang memaparkan kisah penyiasat Lorraine Warren membantu keluarga Hodgson daripada diganggu entiti mistik.

Bagaimanapun, filem ini yang ditayangkan pada 2016 dengan diadaptasi daripada kisah benar yang berlaku sekitar tahun 1977 telah mendapat pelbagai reaksi kerana ada yang mendakwa kisah ini hanya rekaan dan sengaja diada-adakan.

Sejauh mana dakwaan kisah ini hanya rekaan penghuninya yang terdiri daripada ibu tunggal, Peggy Hodgson dan empat orang anaknya iaitu Margaret, 14, Janet, 11, Johnny, 10, dan Billy, 7, masih diperdebatkan sehingga kini.

RUMAH ENFIELD

Sekali lihat , tiada sebarang yang pelik terhadap rumah jenis dua tingkat ini. Terletak di kawasan kejiranan perumahan awam Enfield, terdapat pelbagai kemudahan awam di sini.Namun begitu, misteri yang menyelubungi rumah ini telah menarik minat pelbagai pihak termasuk media yang memaparkan kisah ini sebagai berita utama ketika itu.

Selepas beberapa dekad, lokasi rumah ini sudah semakin dilupakan. Kali terakhir ia mendapat perhatian media ialah apabila Janet dan Margaret berkunjung semula ke rumah berkenaan selepas tempoh 40 tahun.

Kunjungan bersejarah mereka ke rumah berhantu ini bagi mengimbas semula pengalaman berdepan dengan detik-detik paranormal sempena tayangan filem Conjuring 2.

BUNYI KETUKAN MISTERI

Mengimbas semula kejadian yang berlaku pada Ogos 1977, malam itu seluruh penghuni rumah berkenaan diganggu oleh bunyi ketukan dan perabot yang bergerak secara misteri. Bimbang dengan keselamatan diri, mereka telah menghubungi pihak polis dan surat khabar, Daily Mirror.

Lebih menyeramkan, ketika jurugambar Daily Mirror, Graham Morris berada dalam rumah berkenaan, dia turut diganggu apabila dibaling dengan blok lego dan secara tiba-tiba beberapa barangan elektrik menyala dengan sendiri.

Insiden lain yang tidak dapat dilupakan ialah apabila Morris berjaya merakamkan Janet yang terapung di udara dan ditarik oleh satu kuasa yang tidak dapat dilihat.

Tambah pelik, apabila dua anggota polis yang datang untuk menyiasat juga menyaksikan sendiri kejadian misteri ini apabila sebuah kerusi bergerak sendiri tanpa ada sesiapa pun yang menyentuhnya.

DIRASUK ROH BILL WILKINS

Antara kejadian paling menyeramkan ialah apabila Janet mengalami kerasukan. Ketika itu suara Janet berubah menjadi garau seperti lelaki dan berulang kali menyebut ungkapan pelik;“Nama aku Bill, sebelum aku mati aku menjadi buta dan kemudian mengalami pendarahan otak dan mati ketika tidur di atas kerusi di bawah tangga”.

Secara tidak sengaja mesej daripada individu misteri bernama ‘Bill’ ini turut dirakamkan ketika Janet mengalami kerasukan, kemudian rakaman ini telah dimainkan dalam radio dan selepas beberapa hari kemudian tanpa disangka-sangka seorang lelaki telah bertemu Hodgson dan mengakui mengenali suara berkenaan. Lelaki dikenali sebagai Terry itu mengesahkan suara tersebut milik ayahnya, Bill Wilkins yang meninggal dunia sama seperti yang disebut oleh suara misteri tersebut.

DITUDUH MEREKA CERITA

Sejak kejadian misteri ini berlaku, keluarga Hodgson bukan sahaja menjadi perhatian media tetapi juga menjadi sasaran kritikan kerana didakwa mengada-adakan cerita bagi mendapatkan perhatian.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Hodgson bersama anak-anaknya turut bertemu pakar paranormal antaranya Maurice Grosse dan Guy Lyon Playfair. Kedua-dua pakar ini telah mengkaji kejadian ini dan tidak menafikan memang berlaku beberapa kejadian misteri tetapi pada masa sama turut mengakui beberapa kejadian sengaja direka.

Misalnya, aksi Janet cuba membengkokkan sudu dan mengetuk siling menggunakan kayu penyapu yang berjaya dirakamkan. Janet mengakui ia hanyalah satu usikan.

Selain itu, tindakan Margaret yang memarahi Janet supaya diam selepas dia menyebut rumah tersebut tidak berhantu dengan reaksi muka tersenyum ketika ditemu bual oleh BBC Scotland turut menimbulkan banyak persoalan sehingga ada pihak membuat kesimpulan kedua-dua gadis ini diganggu oleh kuasa paranormal disebabkan kisah rekaan mereka sendiri yang mahu dilihat sebagai satu gurauan.

BENARKAH ENFIELD BERHANTU?

Kisah misteri ini yang berlarutan selama dua tahun itu telah mendapat pelbagai reaksi termasuk dakwaan sesetengah pihak bahawa Hodgson sendiri merupakan dalang utama di sebalik kisah misteri ini kerana mahukan rumah awam yang lebih baik dan mendapat keuntungan segera.

Bagaimanapun, khabar angin ini mungkin tidak benar kerana Hodgson tidak mendapat sebarang bayaran daripada cerita yang dilaporkan oleh media dan dia juga tidak pernah berpindah sehingga meninggal dunia pada 2003. Yang meninggalkan rumah puaka itu ialah Margaret dan Janet ketika usia masih muda kerana mendirikan rumah tangga.