Beriring keyakinan, penyanyi kembar Aisha dan Hanim tidak mengambil hirau soal populariti. Apa yang penting bagi kedua-duanya ialah lagu mereka diperdengarkan kepada umum pada usia mereka 39 tahun, 
Soal lambat menyertai dunia seni adalah soal sampingan. Si kembar ini sekadar mahu nama

 

mereka terpahat dalam radar seni tempatan dan satu hari kelak boleh dibanggakan kepada anak cucu. 

“Semasa usia remaja kami sering memasuki pelbagai pertandingan. Tipulah kalau cakap tidak pernah mengimpikan untuk menjadi penyanyi popular. Impian itu memang ada, tetapi kami bersyukur dengan kebahagiaan yang dikecapi sekarang.

“Kami bukan nak bersaing dengan penyanyi sedia ada, tetapi cukuplah untuk mewarnai industri ini. Sekurang-kurangnya masyarakat tahu wujudnya penyanyi kembar Aisha Hanim. 

“Mungkin nama kami kurang popular, namun kami menerima banyak kata-kata positif yang menyukai lagu-lagu kami. Itupun sudah cukup memadai dan membuatkan kami berpuas hati,” kata Aisha atau nama penuhnya Nooraisha Farizan Abu Bakar,
Sampuk kembarnya, Hanim atau Hanim Fariza, sementelah berumah tangga dan mempunyai kehidupan  sendiri, mereka lebih fokus kepada soal perniagaan dan hidup berkeluarga. Justeru, soal populariti berada di tempat kedua. 

“Kami tahu sekarang ada pelbagai cara mahu popular, tetapi biarlah sesuatu yang positif dan tidak mengguris mana-mana hati keluarga kami,” ujar Aisha. 

Aisha dan Hanim merupakan ibu kepada tiga orang anak pernah menyertai pertandingan realiti di Malaysia antaranya Girl Are You Ready dan Sinaran Pasport Kegemilangan.

Pasangan kembar yang juga duta jubah Zarac untuk lelaki dan wanita ini juga mengaku selesa bekerjasama dengan Ajai dalam pembikinan lagu. 

Sebelum ini Aisha Hanim popular dengan lagu Mata Kunci Cinta yang menjadi lagu tema drama bersiri Tabir Zulaikha dan Suami Sebelah Rumah siaran TV3.  Benar Cinta lagu nyanyian mereka juga menjadi lagu tema drama Syurga Nur (TV3) lakonan Janna Nick.

Erti kesepian

Bersesuaian dengan isu perceraian yang banyak melibatkan golongan selebriti kebelakangan ini, Aisha Hanim muncul dengan lagu Hati Yang Mengerti ciptaan sepenuhnya oleh Ajai. 

“Lagu ini mengisahkan wanita kesepian yang diabaikan atau disisihkan oleh orang yang tersayang.

“Mereka mengharapkan lelaki yang disayangi itu mengerti hatinya sebelum dia pergi buat selama-lamanya. 

“Sebenarnya lagu ini sudah lama siap tetapi sengaja kami keluarkan sekarang kerana sesuai dengan isu yang melanda industri hiburan. Bukanlah mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku, cuma ia lebih mudah dihayati meman–dangkan isu tersebut masih diingati masyarakat.

“Diharapkan lagu ini sedikit sebanyak dapat dihayati oleh semua peminat muzik. Mana tahu mesej positif ini berguna untuk anda atau orang sekeliling. 

“Saya tidak kisah apa sahaja komen yang diberikan kerana semua orang berhak membuat penilaian berdasarkan apa yang mereka dengar. Positif atau negatif, tiada masalah,” luah pasangan kembar ini lagi.