Baru-baru ini, penulis bersama sembilan rakan berpeluang mendaki Bukit Batu Beras. Perjalanan memandu dari Cheras ke Petronas Simpang Durian memakan masa dua jam. Di situ, kami berkumpul sebelum meneruskan perjalanan ke parkir yang terletak di dalam kebun penduduk kampung.

Pendakian kami diiringi pemandu arah, Abd. Samad Mubin, 40, dan Nurul Amylia Mohd Rosbi, 30, dari Belia Kampung Bemban. Pendakian dari pintu rimba hanya menegak sehingga ke titik pandang. Jika mendaki tanpa berehat, pendakian memakan masa kira-kira setengah jam.

Namun, pendakian kami mengambil masa satu jam kerana kami banyak ‘singgah’ untuk melihat tempat bersejarah.

Menurut Abd. Samad, bukit tersebut mempunyai sejarah kerana pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu sekitar 1940-an, penduduk kampung menyorokkan beras di dalam gua kecil yang terletak dekat titik pandang Bukit Batu Beras.

Katanya, beras itu disembunyikan di celah rekahan batu besar yang terletak di sebelah kiri laluan mendaki.

“Pada zaman Jepun, penduduk tidak boleh simpan banyak beras di rumah kerana tentera Jepun akan mengambilnya untuk kegunaan mereka. Sebab itulah, penduduk terpaksa menyembunyikan beras di kawasan bukit ini,” katanya yang mendapat tahu mengenai perkara tersebut daripada generasi terdahulu.

Menurutnya, tentera Jepun gagal menghidu kedudukan gua tersebut sehinggalah Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945.

Mengenai pendakian ke Bukit Batu Beras, pihaknya kesal kerana masih terdapat pendaki yang masuk ke hutan simpan tanpa permit.

“Bukit ini terletak dalam hutan simpan. Jadi, kena ada permit untuk mendaki,” katanya yang memaklumkan permit boleh dipohon di Pejabat Hutan Kuala Klawang.

Ketika itu, beliau ternampak sekumpulan pendaki baru tiba di kawasan kebun nangka yang menjadi ‘pintu masuk’ ke laluan mendaki Bukit Batu Beras.

“Tengok tu...Ini mesti daki tanpa permit. Kalau ada permit, tentu kami tahu,” katanya kesal. Menurutnya, Bukit Batu Beras terletak dalam Hutan Simpan Pasoh, maka permit diperlukan untuk mendaki bukit tersebut.

Benar bagai apa yang dikata. Ketika seorang pendaki lelaki menghampiri kami, Abd. Samad menegur lelaki terbabit sambil bertanyakan mengenai permit.

“Kami baru turun dari Bukit Sawa. Memandangkan pendakian ke Bukit Sawa tidak memakan masa yang panjang, maka kami bercadang untuk meneruskan pendakian ke bukit ini pula (Bukit Batu Beras). Jadi, tak sempat nak ambil permit,” katanya.

Dalam pada itu, penulis dan rakan-rakan dibawa melihat kawasan berbatu yang menjadi tempat simpanan beras penduduk pada pada zaman penjajahan Jepun.

“Dah tak jauh...,” katanya kepada kami yang meredah semak dan belukar menuju ke gua tersebut.

Sebaik sahaja tiba di situ, kami dapat melihat ‘pintu masuk’ ke gua batu yang sempit. Namun, faktor itu tidak menghalang penduduk kampung untuk menyembunyikan beras di dalam gua batu tersebut.

Pendakian diteruskan dan kami tiba di titik pandang Bukit Batu Beras sekitar pukul 10 pagi. Berakhirlah misi kami untuk menawan ‘puncak’ Bukit Batu Beras.

Pemandangan sekeliling dipenuhi kehijauan. Kelihatan sawah padi di Kampung Sungai Buloh, aliran lesu Sungai Triang, Bukit Hitam, kebun dan ladang sawit yang luas.

Dalam pada itu, Nurul Amylia menunjukkan kepada kami lokasi sungai yang telah kering ekoran kerja-kerja pertanian dekat puncak bukit. Selain itu, kami diperkenalkan dengan pokok Siti Fatimah yang merupakan pokok herba bagi kegunaan kaum wanita.

Jangan keliru kerana pokok itu tidak sama dengan pokok Kacip Fatimah yang tumbuh rendah, sebaliknya pokok Siti Fatimah menjulang tinggi.

Nurul Amylia juga berkata, jika mendaki pada awal pagi dan bernasib baik, kita dapat melihat ‘awan karpet’.

“Memang cantik jika dapat bergambar berlatar belakang hamparan awan yang memutih,” katanya.

Kami menghabiskan masa hampir satu jam di titik pandang Bukit Batu Beras. Memandangkan mentari makin tegak di langit, kami memulakan perjalanan turun dan tiba di pintu rimba sekitar pukul 2 petang.