Berasal dari budaya tarian di Bronx, New York, tarian yang memerlukan kekuatan, momentum, keseimbangan badan dan kreativiti itu kemudian tersebar ke seluruh dunia termasuklah Malaysia dan diminati oleh anak-anak muda.

Atas fenomena B-Boying itu, Exquisite Impression Sdn. Bhd., dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan mengadakan pertandingan B-Boying pada April ini.

Dikenali sebagai The Impression Cup BBoy Battle 2010, pertandingan yang pertama kali diadakan ini bertujuan untuk mencari juara yang akan mewakili negara ke pertandingan World Impression Cup.

Setiap kumpulan B-Boy yang terdiri daripada enam hingga lapan orang dijemput menghadiri ujibakat yan akan diadakan pada 27 Mac ini di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Jabatan Belia dan Sukan Kuala Lumpur dari pukul 12 tengah hari hingga 10 malam.

Pertandingan yang turut mendapat sokongan Floor Fever dan Astro ini memerlukan setiap kumpulan mempersembahkan tarian mereka selama enam hingga lapan minit pada peringkat ujibakat.

Peringkat akhir yang menyaksikan lapan kumpulan terbaik berentap akan diadakan pada 10 April ini di Rainforest, One Utama Shopping Centre, Kuala Lumpur dimana juara pertandingan ini akan membawa pula wang tunai RM10,000 dan mewakili negara ke pertandingan World Impression Cup.

Juara pertandingan World Impression Cup yang akan diadakan pada bulan Disember dengan Malaysia sebagai tuan rumah akan membawa pulang RM350,000 (AS$100,000)

Pengerusi Eksekutif Exquisite Impression, Vikram Sivaprasagam berkata, pertandingan ini sebagai salah satu langkah mengetengahkan bakat-bakat B-Boying di Malaysia ke mata dunia.

"Kita mempunyai ramai yang berbakat dalam tarian B-Boying cuma mereka tidak diberikan platform yang betul untuk dikenali.

"Saya harap melalui pertandingan ini akan membuka banyak mata pada bakat-bakat disini," ujarnya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang http://cintabboy.blogspot.com atau menghubungi Julie di 03-62037666.