Kelas Tarian Swatari membuka pendaftaran peserta baru hingga 15 Februari ini dalam usaha melahirkan lebih ramai penari profesional.

Tidak dinafikan, kerjaya tarian mempunyai masa depan yang cerah dan kumpulan Swatari membuktikan mereka mempunyai reputasi membanggakan apabila sering kali dijemput menyertai pelbagai persembahan di dalam mahupun di luar negara.

Tahun ini masuk musim kelapan Swatari menganjurkan kelas tariannya yang dikendalikan oleh tenaga pengajar profesional. Dikendalikan oleh Datin Sharifah Mahani Syed Kassim yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang tarian serta pernah bertugas sebagai pereka tari Kompleks Budaya Negara (KBN) dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (kini Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan).

Pereka tari yang bertanggungjawab dalam mengajar tarian ialah Zulfaqar Awaluddin yang merupakan antara pereka tari yang dikenali di negara ini.

Mereka yang menamatkan pembelajaran asas tari yang dijalankan selama lapan bulan ini akan diberikan sijil pada konvensyen Swatari.

Mempunyai dua buah studio tari, keselesaan semasa menjalani latihan menjadi keutamaan kepada pelatih-pelatih demi menentukan segala pengajaran yang diberi dapat diterima dengan baik.

Terbuka kepada semua golongan termasuk kanak-kanak dan remaja, mereka yang berminat menyertai kelas tarian tersebut boleh mendapatkan borang pendaftaran di pejabat Pak Ngah Productions Sdn. Bhd., 30-1, Jalan Prima Setapak 3, Prima Setapak Business Centre, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-40237978.