Benar, pelakon Ain Edruce, 28, kini sudah rasmi menjadi tunangan ahli perniagaan dan pelumba kereta itu. Perkenalan rapat selama setahun itu membawa hubungan istimewa itu ke peringkat seterusnya.

Sudah pastilah dia gembira tidak terkata kerana segala perancangan untuk membina mahligai dipermudahkan. Bermula dari saat awal mengenali hati budi, mendapatkan restu keluarga membawa pencarian titik persefahaman antara keduanya, semuanya berjalan lancar.

Ain Edruce

“Syukurlah apa yang diharapkan dalam hubungan ini dipermudahkan. Dulu kami kawan, sahabat dan kini bakal menjadi pasangan suami isteri pula. Satu langkah lagi untuk membina keluarga. Doakanlah yang baik buat kami,” kata wanita yang baru menempuh fasa darah manis ini.

Mengikut perancangan bersama, pelakon drama 30 Pesanan Suara ini mengadakan majlis pertunangan sempena Aidilfitri tahun ini. Oleh itu, tarikh 22 Jun (Sabtu) dipilih khusus untuk mengikat kedua-dua pasangan sama cantik dan padan ini. Majlis pertunangan tersebut diadakan pada sebelah malam di kediaman keluarga Ain di Kuala Lumpur dan turut disaksikan kedua-dua belah keluarga. Mereka bertunang selama enam bulan sahaja sebelum mengadakan majlis pernikahan hujung tahun ini.

Enggan menangguh perkara yang baik, urusan penyatuan Ain dan Amirul ini juga tidak perlu mengambil masa terlalu lama. Jadi elok jika dipercepatkan memandangkan tiada halangan untuk kedua-dua pihak.

Ain sendiri sentiasa berlapang dada untuk setiap keputusan yang dipersetujui orang tuanya. Pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini sama sekali tidak akan membantah perancangan kerana dia yakin setiap keputusan pasti memberi kebaikan bersama.

“Dalam membina keluarga, apa yang penting adalah persediaan pasangan itu sendiri untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Dalam soal ini, kami berdua sudah bersedia ke arah itu. Saya sendiri tidak sabar untuk mempunyai keluarga sendiri.

“Melihat rakan sebaya yang sudah punya keluarga dan anak sendiri, itu yang lebih membakar rasa teruja untuk lebih bersemangat nak cepat-cepat naik pelamin,” katanya.

Pelakon drama Gadis Semasa Sunsilk ini dirisik keluarga Amirul pada 18 April lalu. Mengikut perancangan, mereka bakal mendirikan rumah tangga pada pertengahan Disember depan.

Pentingkan adat

DALAM segala hal, anak ketiga daripada empat adik-beradik ini sentiasa mementingkan perasaan keluarga. Begitu juga dalam soal mengangkat adat dalam urusan penyatuan dua jiwa.

Ada segelintir pihak yang merasakan dia tidak perlu majlis merisik atau bertunang memandangkan keluarga masing-masing sudah pun mengenali antara satu sama lain. Bagaimanapun tidak buat Ain kerana itu adalah permintaan daripada keluarganya sendiri.

“Urusan pernikahan ini ditentukan keluarga dan atas persetujuan bersama. Saya bersetuju untuk menempuh setiap detik itu disebabkan mahu menikmati sendiri perjalanan bergelar isteri itu satu persatu.

“Kalau diikutkan perasaannya memang sangat berlainan sekali lagi. Setiap satunya juga ada cerita tersendiri. Itu yang lebih membikin perasaan teruja dalam hati,” kata Ain. 

MAJLIS pertunangan Ain dengan Amirul Hafiz Mustaffa berlangsung malam tadi.
MAJLIS pertunangan Ain dengan Amirul Hafiz Mustaffa berlangsung malam tadi.

Tak takut saham jatuh

Orang kata, artis ini kalau dah bertukar status kepada isteri orang dah lain nanti saham jatuh. Tak takut ke?

AIN: Mana ada. Peminat sekarang dah semakin bijak. Mereka boleh membezakan antara meminati artis kerana bakat dan kisah peribadinya. Jadi tidak ada apa yang perlu ditakutkan.

Maksudnya sekarang ini, Ain semakin dikenali. Mana tahu nanti lepas ini peminat dah tak beri perhatian macam sekarang? Macam mana tu?

AIN: Itu normal. Situasi dikenali, popular atau masyhur itu sudah lapuk. Kita tidak boleh terlalu fokus kepada perkara-perkara tersebut hingga mengabaikan kualiti kerjaya. Saya sendiri mengambil masa yang agak lama untuk berada pada hari ini. Tapi isu takut saham jatuh bukan lagi satu ketakutan. Apa yang penting adalah survival kerjaya kita.

Apa prinsip kerja yang dipegang Ain selama ini?

AIN: Saya hanya menjaga mutu kerja, hubungan dengan orang sekeliling dan tidak terlalu menyibuk hal orang. Ini saja resipi bertahan saya. Ada orang kata saya tak ada aura seorang bintang, tapi perkara itu subjektif. Saya percaya lama kelamaan orang akan kenal kita juga.