Dia bukan sahaja mewarisi kehebatan Megat Nordin dalam irama tradisional dan lagu rakyat, malah cemerlang mendendangkan lagu-lagu di luar forte, termasuk irama moden atau berentak rancak.

Pendek kata, penyanyi dan pendikir muda berusia 18 tahun ini mempunyai pakej lengkap iaitu versatil dalam persembahan, berpersonaliti menarik selain disenangi ramai.

Sayangnya nama Megat Haikal dilihat hanya menyerlah di Kelantan, biarpun dia pernah menyertai program nyanyian televisyen, Idola Kecil musim keempat, lapan tahun lalu.

Bagi Megat Haikal, itu bukan penamat. Sikap tidak mudah putus asa akhirnya membawa dia mencuba nasib menyertai pencarian peserta pertandingan irama dangdut terbesar rantau ini, Dangdut Academy Asia (D' Academy Asia) 2019.

Program itu dijadual bermula bulan depan di Indonesia dan sebagai salah seorang calon disenarai pendek, dia kini berdebar menunggu pihak produksi iaitu stesen televisyen Indosiar mengumumkan barisan peserta akhir.

"Ketika sesi uji bakat Julai lalu, para penilai memberi maklum balas yang baik namun dalam masa sama, saya tengok calon lain yang datang mencuba nasib juga hebat-hebat belaka.

"Seramai lima peserta akan dipilih mewakili Malaysia dalam program itu. Harap-harap nama saya juga ada. Bolehlah saya perkenalkan lagu-lagu dikir barat kebanggaan orang Kelantan di Indonesia nanti," ujarnya.

Bercerita lanjut perkembangan diri, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Klang ini memberitahu dia baru sahaja menerima khabar gembira terpilih ke peringkat separuh akhir Bintang Klasik 2019 anjuran RTM.

"Saya kini sibuk berlatih untuk pertandingan itu yang akan berlangsung tidak lama lagi di Angkasapuri. Daripada 16 peserta separuh akhir, hanya lapan peserta layak ke peringkat akhir bulan depan," katanya.

Megat Haikal yang bernaung di bawah syarikat Allkind Music Entertainment juga bakal melancarkan album solo pertama yang berkonsepkan ketuhanan, awal tahun depan.

"Album ini amat bermakna kerana selama ini saya hanya berkolaborasi dalam album penyanyi senior seperti Tok Seh Karpet oleh Man Khan selain merakam lagu-lagu cover version," katanya. - UTUSAN ONLINE