Pengarah Eksekutif YOKUK Datin Suliana Shamsuddin berkata, Maya Karin yang dipilih menjadi duta YOKUK sejak 2011, akan hadir meraikan Karnival YOKUK20 pada 20 Julai sempena 20 tahun yayasan itu bertapak di Kelantan.

"Karnival berkenaan akan menyediakan peluang bagi kedua-dua masyarakat kurang upaya dan berupaya untuk menyertai acara rekreasi yang mempromosikan gaya hidup sihat bagi semua peringkat golongan terutama kanak-kanak dan remaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran YOKUK20 Karnival 2019 (amp) 'Wheel With Me' di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini yang turut dihadiri Maya Karin.

Pada majlis itu, Maya Karin telah mendaftar sebagai peserta pertama untuk menjadi sebahagian daripada acara 'Wheel With Me' iaitu perlumbaan untuk semua golongan kurang upaya ataupun berupaya menaiki kerusi roda di sekitar stadium mini USM pada karnival nanti di samping untuk memberi kesedaran tentang penggunaan kerusi roda.

Suliana berkata, penyertaan perlumbaan ini bukan sahaja terbuka kepada mereka yang berada di negeri ini, tetapi juga seluruh negara dan mereka yang ingin menyertainya boleh melayari pautan bit.ly/wheelwithme hingga 6 Julai ini bagi pendaftaran.

Sementara itu, Maya Karin berkata idea karnival ini merupakan satu program unik yang dapat memberikan satu pengalaman yang lain kepada golongan bukan OKU di samping mendidik masyarakat supaya tidak meminggirkan golongan OKU.

Sehingga kini YOKUK menyediakan perkhidmatan kira-kira lebih 5,000 pelanggan berdaftar secara percuma.

YOKUK juga menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan terapi, kebajikan, latihan vokasional, serta penjagaan paliatif untuk mereka yang tinggal di rumah dan turut mengajar anggota keluarga daripada golongan ini tentang cara menjaga OKU serta melakukan terapi sederhana. - BERNAMA