Pada pertandingan yang bermula 17 hingga 25 Julai ini, KPKK akan membawa 13 peserta termasuk bagi kategori Vokal, Tarian, Muzik Instrumental dan Peragaan.

Daripada lima kategori yang dipertandingkan, lakonan merupakan satu-satunya kategori yang tidak mendapat pilihan daripada juri apabila tiada seorang pun daripada tiga pesertanya yang layak mewakili negara.

Tiga peserta yang bertanding pada Worldstars Road To Hollywood (WRTH) bagi kategori Lakonan sebelum mereka dipilih ke WCOPA yang kurang bernasib baik itu ialah Nur Emyllia Halmi, Nurul Ain Zainudin dan Rosdayana Rosti.

Penulis banyak menerima e-mel daripada pembaca apabila ruangan Hits menerusi artikel bertajuk Lakonan Tidak Layak Ke WCOPA pada 15 April lalu yang kecewa apabila tiada seorang pun peserta kategori Lakonan yang layak ke pertandingan itu.

Ini kerana, peserta seperti Rosdayana dan Nurul Ain bukan sahaja berbakat besar, malah persembahan mereka pada final WRTH di Istana Budaya, Kuala Lumpur 10 April lalu mendapat tepukan gemuruh para penonton.

Menerusi artikel itu, Deja Moss yang mewakili panel juri keseluruhan berpendapat kategori Lakonan kali ini tidak memenuhi kriteria bagi membawa cabaran negara ke pertandingan yang disertai oleh hampir 50 buah negara.

Seorang pengirim e-mel itu, Marlena Mohammed menulis: "Seluruh Istana Budaya memberi tepukan paling kuat pada malam itu menandakan persembahan mereka 'sampai' kepada para penonton."

Sementara itu, seorang lagi pengirim e-mel, Nurul Afham turut meluahkan rasa kesal melalui tulisannya yang berbunyi: "Saya pelik tiba-tiba ada kategori simpanan untuk Vokal. Kalau Vokal boleh diberi peluang kenapa tidak Lakonan?" Soalnya.

Pengirim e-mel terbabit mempersoalkan pemilihan Nurshahila Amir Hamzah yang tidak terpilih ke WCOPA bagi kategori Vokal, sebaliknya finalis One In A Million itu diletakkan sebagai K.I/V atau peserta simpanan ke pertandingan tersebut.

Dalam hal ini, ada baiknya KPKK membuat pertimbangan semula bagi kategori Lakonan kerana dengan bakat yang diketengahkan terutamanya Nurul Ain Zainudin dan Rosdayana Rosti dilihat mampu menempa kejayaan.

Tahun 2008, Malaysia berada di tangga ke-7 dalam kutipan pingat secara keseluruhan di mana kedudukan itu melonjak di tangga ke-5 pada 2009 membuktikan para peserta termasuklah kategori Lakonan juga hebat.

Pada masa sama, kekurangan peserta bagi mewakili kategori lakonan sedikit sebanyak akan mengurangkan peluang negara dalam usaha menambah kutipan pingat pada WCOPA.

Difahamkan KPKK tidak mempunyai bajet yang mencukupi bagi membawa kesemua peserta yang mewakili kelima-lima kategori itu kerana tidak ada yang sanggup tampil menjadi penaja.

Perkara ini cukup menyedihkan kerana menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPKK, Datuk Mohammed Mohd. Daud, bajet sehingga RM400,000 diperlukan bagi membiayai para peserta negara ke WCOPA pada tahun ini.

Bagaimanapun, kementerian itu yang di bawah kepimpinan Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim masih mempunyai masa kira-kira tiga bulan lagi bagi mencari penaja selain memastikan peserta kategori lakonan 'tidak dicicirkan'.

Salah seorang daripada tiga peserta kategori Lakonan itu harus diberi peluang mendapat latihan daripada guru lakonan supaya mereka juga dapat diserapkan pada WCOPA bagi membantu negara menambah kutipan pingat.

Dalam masa kira-kira tiga bulan dari sekarang, peserta kategori Lakonan yang akan dipilih masih mempunyai masa berlatih dan memperbaiki segala kekurangan lakonan mereka seperti yang didakwa oleh para juri WRTH.

Salah seorang juri bagi kategori Lakonan iaitu Rosminah Tahir sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan memberi penjelasan secara lebih menyeluruh sebab tiadanya wakil kategori itu ke WCOPA.

Selain itu, amat dikesalkan juga apabila tiada satupun syarikat koporat, telekominukasi mahupun syarikat rakaman yang sanggup tampil ke hadapan bagi memberi sokongan terutamanya tajaan pertandingan ini.

Ini kerana, WCOPA yang menyediakan pingat emas, perak dan gangsa buat para pemenangnya ibarat 'sukan Olimpik' dalam seni persembahan yang tentunya mampu mengangkat karyawan seni kita di peringkat antarabangsa.

Sayangnya, penaja di negara ini mungkin boleh dikategorikan sebagai opotunis yang hanya tahu mengambil kesempatan setelah para peserta negara meraih pingat atau menjadi rebutan di luar negara selepas pertandingan itu berakhir kelak.