Terus terang Marisa Yasmin atau nama sebenarnya Mariam Yaacob berkata, dia lega kerana kemelut rumah tangga yang ditanggung selama ini sudah berakhir dan kini sudah boleh mengatur perjalanan hidup mengikut acuan sendiri.

“Apa yang berlaku, biarlah berlalu kerana saya tidak mahu memberi sebarang komen. Bagi saya, barang lepas jangan dikenang. Cukuplah kalau ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara terdekat tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya tak kisah apa orang nak kata, kerana mereka bukan tahu cerita sebenar seperti mana ahli keluarga tahu.

“Saya reda dengan ketentuan ini kerana yakin Allah ada percaturan terhadap diri saya. Sebagai insan yang diduga dengan perceraian ini, saya tidak mahu bercerita tentang kisah yang telah berlaku. Cuma saya perlukan sehari dua lagi untuk mengembalikan ketenangan diri,” katanya kepada Hits.

Seperti yang sedia maklum, sebelum ini jarang sekali kita mendengar kisah pergolakan rumah tangga Marisa Yasmin dan tiba-tiba Khamis lalu, peminat cerita Memori Cinta Suraya itu dikejutkan dengan berita perceraiannya selepas mendirikan rumah tangga selama lima tahun.

Kata pemegang watak Tengku Elina dalam telenovela Memori Cinta Suraya itu, dia tidak suka mencampur aduk soal peribadi dan kerjaya, selain tidak gemar menjadikan cerita peribadi untuk meraih publisiti.

“Sebaik sahaja masuk dalam kereta untuk pergi ke lokasi penggambaran, segala kisah rumah tangga saya tinggalkan di belakang. Begitu juga sebaik sahaja menjejak kaki ke set, perkara yang difikirkan adalah bagaimana untuk saya sampaikan watak yang diberi .

“Kalau saya ni jenis yang suka bercerita hal peribadi, rasanya sudah lama orang tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga. Sekarang ini kalau orang tanya apa punca perceraian kami, saya lebih senang mengambil sikap mendiamkan diri. Biarlah pihak sana nak cerita apa kerana saya lebih senang mendiamkan diri,” katanya terus terang.

Rezeki murah

Daripada bermasalah hingga selesai masalah, rezeki Marisa Yasmin dalam bidang lakonan tidak pernah putus. Katanya sekarang ini dia sedang menjalani penggambaran drama Tundukkan Playboy Itu untuk 30 episod untuk slot Akasia yang bakal ditayangkan selepas Cinta Si Wedding Planner.

“Alhamdulillah, dari segi kerjaya saya tidak ada masalah walaupun hati sebelum ini penuh duka. Mungkin disebabkan komiten saya terhadap kerja membuatkan rezeki saya tidak pernah putus. Bagi saya, besar atau kecil watak yang diberikan pasti saya akan cuba sampaikan dengan cara terbaik.

“Apapun ramai juga yang perasaan dengan lakonan saya yang sering diberi watak mak-mak. Sebenarnya saya tidak kisah diberi watak mak kerana ia mencabar saya yang tidak mempunyai anak ini. Saya mula dapat watak mak sejak drama Jelatang. Entahlah, pengarah kata mereka suka bila saya bawa watak mak biarpun karakter itu lebih berusia daripada saya. Saya percaya setiap mak ada cara tersendiri,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Dalam drama Tundukkan Playboy Itu yang diarah oleh Keoi Khalid, lakonan Hafidz Roshdi itu dia berlakon sebagai ibu kepada Alif Satar. Ternyata Marisa Yasmin tidak kekok melakonkan watak ibu kerana secara peribadi dia amat menyayangi budak kecil kerana mempunyai ramai anak saudara.