Meraih kemuncak populariti, kedua-dua mereka memiliki kedudukan tersendiri di hati peminat meski di sebalik kata pujian terselit celaan dan kritikan.

Namun, begitulah nasib sebagai seorang penyanyi ternama, semua harus ditelan atas dasar lumrah hidup anak seni. Pun begitu, kedua-dua artis ini berkongsi rasa dan misi yang sama dengan antaranya mahu terus berusaha menjadi contoh yang baik buat peminat dan masyarakat.

Bagi Sufian sendiri, dia percaya populariti dan kejayaan juga sebenarnya adalah satu cabaran buat seseorang selebriti.

“Setiap benda yang kita dapat, mesti ada juga benda yang kita perlu bagi. Bila kita dilihat sebagai orang yang dikenali atau menjadikan diri sebagai inspirasi khususnya kanak-kanak, remaja generasi muda, rasa tanggungjawab perlu ada.

“Khasnya dalam memberi pengaruh agar mereka menjadi manusia yang berguna. Mempunyai platform dan kapasiti sebagai seorang selebriti, saya perlu beri semula kepada masyarakat,” katanya.

Tidak menganggap dirinya terbaik, kata Sufian tiada salahnya andai dia cuba memberi contoh yang baik pada semua kerana itu yang akan dikenang orang sepanjang zaman.

“Saya selalu bertanya, apa yang orang dapat apabila mendengar lagu-lagu dan tengok media sosial. Apa yang penting adalah untuk memberikan cerminan yang baik kepada umum,” katanya.

SUFIAN HILANG NENEK

BERKONGSI mengenai sambutan Aidilfitri baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu ini mengaku suasana raya tidak lagi istimewa lantaran baru sahaja kehilangan neneknya.

Meratapi pemergian arwah sejak pertengahan Ramadan lalu, sambutan raya terasa sedikit hambar jika tiadanya orang tua dalam keluarga.

“Pertama kali sambut tanpa datuk dan nenek. Bukanlah tidak meriah dengan kehadiran saudara mara lain, tetapi agak terasa juga kehilangan orang tua,” katanya.

Pulang berhari raya di kampung halamannya di Mersing, Johor, Sufian juga sering terhibur dengan gelagat kanak-kanak yang datang beraya di rumahnya.

“Saya tiada masalah kalau peminat datang beraya di rumah, cuma terhibur dengan gelagat kanak-kanak yang tidak tahu mereka raya di rumah saya.

“Bila ternampak saya di rumah, rata-ratanya macam was-was nak tegur. Ada yang kata muka saya ni macam Sufian sedangkan memang sayalah orang yang dimaksudkan!” ceritanya.

Sengaja mengusik sama ada kalangan keluarga ada bertanya atau cuba membuka katalog calon menantu buatnya ketika raya, ini jawapan Sufian.

“Tak pernah pun mereka bertanya pasal cinta atau hal peribadi. Mereka lebih suka bertanya tentang perkembangan industri, lebih suka ‘membawang’ hal begitu,” tawanya,

TIDAK MELENTING

SAMA seperti Sufian, penyanyi yang hit dengan lagu Pematah Hati ini juga merasa bertanggungjawab untuk memberikan contoh yang baik buat generasi muda.

Tidak pernah menganggap dirinya sempurna, kata Nabila kerjayanya sebagai seorang selebriti membuatkan banyak mata sentiasa mencari kesilapan dirinya.

“Walaupun selalu dikecam dengan macam-macam isu, hingga terkadang isu tu tidak perlu dinaikkan pun, saya tetap mahu berfikiran positif.

“Mudah melenting bukan sikap saya kerana percaya, kalau buat begitu, itu tidak membantu pun melonjakkan kerjaya saya,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 26 tahun ini, dia percaya sentiasa mencerminkan fikiran yang positif juga adalah sebahagian daripada usaha memberi contoh yang baik buat masyarakat.

Apa lagi dalam zaman teknologi dan media sosial ini, sepatutnya tugas menyebarkan aura positif sepatutnya lebih mudah.

“Menggalas tugas sebagai duta kepada beberapa jenama popular juga memberikan tanggungjawab sosial untuk dipikul.

“Orang melihat saya daripada pelbagai sudut. Sama ada gaya hidup, personaliti, kata-kata dan semua itu kalau tidak punya nilai positif, itu sia-sia.

“Saya gembira menggalas semua tanggungjawab itu kerana sekurang-kurangnya mereka melihat fungsi artis atau selebriti itu tidak cuma pada tugas kesenian sahaja,” katanya.

CERITA RAYA NABILA

JUGA terhibur dengan kunjungan kanak-kanak ke rumah, cerita Nabila adakalanya dia cuma mampu tergelak melihat kerenah mereka sekali gus terkenang zaman kecilnya.

Beza dahulu dengan sekarang apabila dia sudah menjadi artis, selain mahu beraya mereka juga datang dengan satu harapan lain.

“Kalau dulu datang berharap dapat duit raya, sekarang ada yang datang sebab nak berswafoto sahaja dengan saya. Paling menggelikan hati, ada yang berani bertanya pada saya sudi tak menjadi kekasihnya kalau masih solo.

“Kelakar kerana yang bertanya tu, ada yang berusia 11 tahun, 13 tahun. Pendek kata masih bersekolah,” ceritanya.

Sebagai anak seorang tukang jahit, saban tahun juga Nabila sering terbayang kesusahan ibunya dalam menyiapkan tempahan baju hari raya.

“Dulu saya selalu juga bantu dia, sama ada menjahit manik atau baju sebab ibu memang tak menang tangan.

“Sekarang walau tak dapat bantu dari segi tenaga, saya bantu dari segi lain pula. Apa yang penting, tugas saya sebagai anak adalah memba­ha­­giakan orang tua,” katanya.