Apa yang dipakainya tidak hanya nampak selesa ketika menghadiri sebarang majlis atau muncul di pentas, malah saat bersantai juga, Asad tidak mahu asal ‘janji pakai’.

Asad Motawh

“Bukan sahaja gaya rambut dan pilihan kasut, malah apa saja dipakai ada gayanya. Kalau saya nak ke majlis petang, malam atau beraksi atas pentas, saya tak mahu sekadar menyarungkan pakaian ke badan.

“Sama ada bersantai, kasual atau smart biar menarik. Sejujurnya saya mahu menjadi penyani bergaya,” cerita penyanyi yang popular dengan lagu Senyum, Percaya, Warna dan Selamanya kepada Hits.

Setakat ini Asad tidak menjadikan mana-mana selebriti dunia sebagai ikon fesyen, tetapi suka mengikuti perkembangan fesyen antarabangsa melalui laman YouTube dan media sosial sebagai rujukan.

“Saya juga dapat mendalami kreativiti melakukan suai padan menerusi dunia fesyen. Antara hasil kerja pereka ternama yang saya kagumi ialah Samuel Ross, Karl Lagefeld dan Christian Dior,” tambah Asad yang melihat artis, muzik dan fesyen tidak boleh dipisahkan dalam mewarnai dunia hiburan.

Justeru, anak ketiga dalam empat beradik ini ada sebab untuk tidak lokek berbelanja mengikut kemampuan dan kemahuannya demi gaya.

Koleksinya ada ditempah dan dibeli siap. Itu antara sebabnya mengapa dia mencuri perhatian apabila kelibatnya muncul di mana-mana.

Selain memastikan selesa bergaya, pemuda yang sering keluar masuk gimnasium dan berenang ini memilih untuk memiliki bentuk badan sederhana dan tidak ketara sasa sesuai dengan ketinggian 179 sentimeter dengan berat 60 kilogram.

Mungkinkah akan punya jenama sendiri setelah menjadi pencetus fesyen?

“Saya teruja dengan idea ini. Bagaimanapun, sekarang mahu beri fokus kepada kerjaya sebagai penyanyi dulu. Dalam masa sama biar saya dikenali sebagai pencinta fesyen,” jawabnya yang masih belum memikirkan soal cinta.

Asad tumpang gembira kalau apa dipakai jadi ikut-ikutan atau trendy.

Perkembangan terkini, Asad bakal melancar dan membuat promosi album solonya yang turut memuatkan single terbaharu Selamanya di merata lokasi akhir tahun ini.

“Saya akan berada di merata gedung beli-belah popular seluruh tanah air termasuk Sabah dan Sarawak bermula 7 Disember hingga 1 Februari tahun depan.

“Antaranya One Utama, Aman Sentral, Kuantan Mall, KB Mall, Gurney Plaza, Permaisuri Imperial City Mall, Centre Point dan beberapa lagi.

“Selain itu, pada 18 Disember tahun ini selama tiga hari dua malam saya antara artis bersama-sama peminat bakal belayar dengan program Divalicious anjuran Dream Cruises dengan Golden Destinations.

“Tak sabar nak menaiki kapal lebih 15 tingkat ini yang akan belayar dari Singapura ke Melaka dan kemudian balik ke Kota Singa. Di atas kapal itu nanti selain ada program dengan peminat, saya dan teman-teman artis seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan Dee akan mengadakan persembahan.

“Ini kali pertama akan berada di atas kapal mewah selama tiga hari dua malam. Saya berharap dapat meluangkan masa untuk acara dan pengalaman menggembirakan dengan keluarga dan peminat-peminat nanti,” cerita Asad.

Mereka yang berminat menyertai pelayaran itu boleh melayari www.goldendestinations.com.