Bermula dengan penerimaan baik dua buah single solo nyanyiannya iaitu Nak Ke Tak Nak dan Siapa Yang Bap Bap pada tahun lalu, karier nyanyian Zizi dilihat semakin maju ke depan sebaris penyanyi popular lain.

Tahun ini juga menyaksikan Zizi atau Nur Fazelah Mad. Tahil yang dikenali sebagai penglipur muzik rap itu menjadi rebutan dua selebriti senior tanah air apabila dilamar untuk melakukan kolaborasi.

“Alhamdulillah, tak disangka-sangka rezeki saya tahun ini datangnya daripada individu di luar lingkungan atau bukan kenalan rapat.

“Pertama adalah lamaran daripada Datuk Seri Aliff Syukri untuk bergandingan dengannya dalam lagu raya berjudul Jom Raya yang turut menampilkan Bella Astillah.

“Sebelum ini saya tidaklah mengenalinya secara dekat apatah lagi berkawan rapat dengannya.

“Hubungan kami sekadar rakan satu industri, itu sahaja. Sebab itu apabila mendapat pelawaan daripadanya amatlah di luar jangkaan,” jelasnya.

Terkini, anak kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan itu tampil secara trio di sisi rakan baiknya, Bella Astillah serta Ifa Raziah menerusi lagu Starlela.

“Starlela merupakan lagu rasmi bagi sebuah festival jualan yang dianjurkan Ramadan lalu sempena sambutan Aidilfitri,” katanya.

“Selain dua buah lagu tersebut, dalam masa terdekat ini saya akan melancarkan single solo terkini hasil ciptaan sendiri bersama Aman Ra yang berjudul Mintak Lagi.

“Oktober ini sebuah lagi single nyanyian saya dijangka berada di pasaran serta terdapat beberapa lagi projek kolaborasi bersama penyanyi Malaysia serta Indonesia pada masa akan datang,” cerita Zizi berbangga.

Terdahulu, nama Zizi seakan-akan sukar untuk lari daripada kontroversi panas sementelah dia kembali kepada imej seksi biarpun pada Ramadan lalu, penyanyi berkenaan membuat keputusan mengenakan tudung.

Mengulas hal tersebut, Zizi menjelaskan bahawa penampilannya sepanjang bulan puasa itu adalah demi menyahut cabaran dilaungkan oleh Mizz Nina yang menyeru semua wanita Islam agar bertudung.

“Lagipun ia sebagai satu cara untuk saya menghormati kemuliaan Ramadan. Tiada siapapun yang memaksa saya melakukannya selain kerelaan hati sendiri.

“Sama seperti orang lain, saya juga mahu berubah menjadi seorang yang lebih baik dan berharap usaha itu dipermudahkan,” ulasnya sambil memohon doa para peminat.