Biarpun bertubuh kecil molek, Fatin Afeefa Shamsudin tidak akan sesekali membiarkan dirinya mudah menjadi mangsa buli apa lagi dalam era digital media sosial ini.

Dilihat cukup lantang bersuara dalam media sosial terutama ketika memberi respons terhadap mereka yang dianggap biadab dalam melempar sebarang komen, tiada sesal terukir di wajahnya.

Baginya, kata-kata warganet yang melemparkan komen negatif dengan sesetengahnya dianggap melampaui batas sebenarnya adalah cerminan peribadi mereka sendiri di sebalik papan kekunci.

 

“Kononnya mereka berpegang pada istilah hak kebebasan bersuara namun tanpa sedar telah menyalahgunakannya. Bayangkan, mereka singgah ke akaun untuk menghentam tanpa mempedulikan apa perasaan saya.

“Pernah sekali, ada seorang pengguna wanita berlaku biadab dalam ruangan komen Instagram dan biarpun telah memberi amaran dengan baik, dia tetap berdegil.

“Hanya kerana kami ini artis, ini tidak bermakna kami perlu sentiasa reda dengan perbuatan negatif. Mereka katakan, kalau tak boleh terima kritikan atau kecaman, jangan pilih bidang ini,” katanya.

Menguji akal rasional warganet seperti itu, Fatin mengaku pernah mengugut mahu ‘membantu’ mereka popular sekelip mata dengan memuat naik gambar mereka dalam akaun secara percuma.

“Ideanya adalah untuk memberitahu bahawa sebelum membuat sesuatu perkara atau melemparkan komen negatif pada orang lain, sepatutnya mereka harus faham apa perasaan seseorang itu andai diperlakukan begitu.

“Bukan untuk memalukan, tetapi kalau rasa betul-betul nak popular, mengapa tidak saya tolong mereka bukan? ” tambahnya.

Menurut Fatin, adakalanya dia perlu membalas semula kata-kata negatif itu memandangkan menyedari rata-ratanya gemar bersikap bak pembuli siber.

Bagaimanapun, dia tidak pernah membalas dengan cara biadab kecuali dalam nada berbaur sindiran pedas.

“Kalau mereka ini betul-betul berani, sudah lama mereka katakan di depan muka saya sendiri. 

“Kita semua tahu golongan ini cuma berlagak hebat dan bijak dalam media sosial sahaja. Tetapi secara realiti, tidak. Apabila disindir semula, pandai pula minta maaf,” katanya.

Kenapa perlu marah?

Menurut pelakon ini, dia sudah meminta penjelasan daripada pihak terbabit namun hairan dengan respons yang diterima.

“Mereka boleh tanya mengapa saya perlu marah-marah sedangkan sudah tertulis ia sekadar gambar hiasan. 

“Tolonglah, kalau mereka berada di tempat saya dan terpalit dengan isu tuduhan merogol dalam sesebuah artikel dengan gambar sendiri terpampang dalam media misalnya, adakah mereka suka dan terima?

“Di situlah saya persoalkan, di mana etika mereka?” katanya.

Mengaku perkara ini sudah diselesaikan dengan pihak yang terbabit, Fatin menegaskan agar perkara ini sewajarnya menjadi pengajaran buat semua pihak.

Baginya, berdiam tidak semestinya dia perlu membiarkan sahaja sesuatu perkara apa lagi andai itu jelas mampu menjejaskan reputasi dan imejnya sebagai seorang individu.

“Kalau benar-benar melampau, percayalah saya tidak akan teragak-agak untuk membuat tindakan tegas,” katanya.

Bukan sebab status

Ditanya sama ada dia mungkin menyedari dirinya mudah terdedah menjadi mangsa buli hanya kerana statusnya sebagai seorang janda muda, pelakon drama Jodoh-Jodoh Annisa ini cuma tertawa kecil.

Baginya, ia tiada kaitan dengan status janda atau dirinya sebagai ibu tunggal kerana pokok pangkalnya adalah sikap buruk warganet itu sendiri.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kerana warganet ini bukannya kisah pasal status pun,
Kalau mereka rasa nak kutuk, mereka buat tanpa mempedulikan perasaan orang lain.

“Tak ada kena mengena dengan status saya janda atau tidak. Ini berbalik pada nilai ajaran dan diri sendiri yang tiada etika,” katanya.

Terdahulu Fatin juga melahirkan rasa bengang terhadap sebuah blog tempatan yang didapati telah menyalahgunakan gambar peribadinya untuk tujuan tertentu.

“Walaupun dikaburkan bahagian mata dan ditulis sebagai gambar hiasan, semua orang tahu ia adalah gambar saya," katanya yang tidak mahu peristiwa yang sama berulang kembali.