Jeng..Jeng..Jeng. Khabarnya ada kisah lain pula di sebalik filem ini, ada persoalan kenapa lagu Bunkface, Masih Di Sini kurang popular?

Aida sendiri nampak, keghairahan di Malaysia lebih menjurus kepada lagu yang dibawakan kumpulan dari Indonesia D’Masiv, Di Bawah Langit Yang Sama.

Populariti lagu itu telah menenggelamkan lagu Bunkface di tanah air sendiri yang juga dipilih sebagai lagu tema filem tersebut di sini.

Kalau di negara seberang tu, Aida fahamlah kalau D’Masiv yang ke depan, tetapi di sini pun macam tu, apa cerita ni? Mesti ada yang tak kena kot. Janganlah nak kata lagu Bunkface tiada kualiti, sebab sedap jer di telinga Aida kala mendengarnya, cuma cara promosi tak tepat, barangkali.

Bertanyakan hal ini kepada vokalis kumpulan tersebut, Sam kurang pasti apa yang sebenarnya berlaku dan kenapa lagu mereka kurang ‘ngam’ di halwa telinga pendengar tempatan.

Sebagai orang kuat Bunkface, dia sendiri merasakan perlu untuk ambil tahu agar boleh memberi penjelasan kepada pihak lain dalam soal ini.

“Jangan tanya saya kenapa jadi macam itu. Saya juga tidak tahu kenapa lagu kami kurang popular walaupun di negara sendiri. Bukanlah marah bila jadi macam itu, tetapi memang kami sendiri tidak tahu kenapa ia berlaku,” katanya.

Ada yang cakap pada Aida, melihat hasil kerja filem yang membanggakan sebegini, apalah salahnya tonjolkan karya artis kita sendiri. Kalau di Indonesia tu, mereka memang tak hairan sangat kepada lagu kita. Jadi, dalam negara sendiri, kenapa hendak ketepikan lagu sendiri juga? Aida memang tak mampu hendak menjawabnya.