Kehadiran Shuib yang menggantikan tempat Ajak Shiro dalam slot Geng Pagi Hot (GPH) terbukti tiada pincangnya. Malah pengalaman Shuib bersama Sinar FM selama dua tahun membolehkan dia membawa diri dengan cemerlang di lokasi baharunya itu. 

Mengakui ternanti-nanti tawaran daripada Hot FM sejak melepaskan Sinar FM setahun yang lalu, jelas Shuib, dia nekad tidak akan kembali ke mana-mana konti radio selain Hot FM. 

“Bila sahaja saya umum keluar daripada Sinar FM setahun yang lalu, banyak tawaran daripada radio lain. Malahan Sinar FM pun ada tawarkan tempat untuk saya semula tapi saya tetap dengan pendirian untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan. 

“Namun dalam pada itu saya sendiri ada tetapkan prinsip bahawa jika mahu kembali semula ke konti radio, saya hanya mahu ke konti Hot FM. Jadi setelah setahun, barulah Hot FM panggil saya dan tanpa berlengah saya terus terima. 

“Sejak dulu saya memang minat pada konsep yang dibawakan oleh Hot FM berbanding stesen radio lain, saya suka cara mereka dalam memilih lagu-lagu segar dan Alhamdulillah, akhirnya saya dapat menjadi salah seorang ahli keluarga besar stesen ini,” jelas Shuib yang turut teruja bergandingan bersama Shuk dan Fizie. 

Mengakui setiap orang ada cara berbeza dalam mencari pengalaman mengelolakan program di konti, menurut Fizie pula, dia berbesar hati dapat bekerjasama dengan dua pelawak hebat ini. 

“Saya tidak pernah rasa terpinggir dengan kemunculan mereka. Bagi saya kedua-dua mereka adalah rencah dalam menyedapkan program yang kami kendalikan.

“Sebagai pelawak pastinya mereka suka bergurau dan banyak ketawa, keadaan inilah yang perlu saya kawal supaya mereka tidak tersasar,”katanya. 

Selain Shuib, Shuk merupakan ‘killer’ lawak yang utama dalam tim pagi ini. Sering muncul dengan lawak-lawak yang tidak disangka, menurut Shuk, pengalaman berada di konti sangat berbeza berbanding di kaca televisyen. 

“Saya tidak ada masalah bekerja dengan Shuib kerana sudah berkawan sejak menyertai program Raja Lawak lagi.

“Fizie juga banyak membantu saya di konti dan dia juga seorang penyampai yang hebat. Saya banyak belajar mengendalikan konti daripada dia,” katanya yang sudah dua tahun bersama Hot FM.

Shuib tidak akan sertai sebarang pertandingan

SHUIB
SHUIB 

Pernah melalui pelbagai halangan dalam menjalankan perniagaan, menurut Shuib,  terlalu banyak asam dan garam pengalaman telah ditelan sebelum berjaya memahat nama sebagai ahli perniagaan yang berjaya. 

Katalah apa sahaja yang belum pernah diperdagangkan oleh anak Johor ini, semuanya telah diusahakan. Sentiasa berfikir soal bisnes, jelas Shuib ia adalah untuk kebahagiaan dan kesenangan keluarga dan anak-anaknya nanti. 

“Saya berada di dalam industri ini sudah 10 tahun tetapi enam tahun yang lepas saya sudah mula memulakan perniagaan sendiri. Namun, perniagaan itu tidak menjadi, ada yang rugi dan ada yang membuatkan saya sedih.

“Kekangan kewangan dan ruang pemasaran yang terhad menjadikan beberapa perniagaan saya lingkup. Namun saya suka berkawan dengan kesilapan, setiap kesilapan yang saya lakukan dahulu menjadi ilmu untuk saya kembangkan perniagaan hari ini,” jelas Shuib yang pernah membuka bisnes dobi dan kopi Shuib. 

Melihat kepada keupayaannya untuk bertapak dalam industri ini, Shuib kini mengambil keputusan untuk tidak lagi menyertai sebarang pertandingan lawak sama ada bersama Sepahtu mahupun solo. 

Jelas Shuib, dia memberi ruang kepada pelawak lain untuk merasai apa yang pernah dia nikmati sewaktu memenangi pelbagai pertandingan bersama Sepahtu dahulu. 

“Saya sudah penat. Orang luar nampak kami macam seronok di atas pentas, sebenarnya ia tidak semudah yang mereka sangka. Terima kasih kepada peminat yang banyak memberi peluang untuk saya dan Sepahtu mencipta nama sekaligus memenangi pelbagai program sebelum ini. 

“Saya sangat sayang pada Sepahtu, bekerja dengan mereka umpama bekerja dengan adik-beradik namun kami perlu memberi ruang kepada pelawak-pelawak baru untuk mengembang dan memperlihatkan bakat kepada umum. 

“Saya yakin pengunduran saya dalam bidang komedi ini akan memberi ruang kepada orang lain mencipta kejayaan,” jelas Shuib yang juga merupakan komposer untuk lagu, Semakin nyanyian Siti Sarah.

 

Fizie berniaga pasir

Bagi yang kurang mendengar segmen pagi Hot FM, mungkin ada yang tidak mengenali nama Fizie, berbeza dengan Shuib dan Shuk, masing-masing sudah dikenali sejak menyertai program lawak di TV.

Tidak terkesan dengan perkara itu, Fizie mengganggap berlawak di TV dan di radio tidak sama kerana ada garis panduan yang perlu dipatuhi.

“Setiap hari kami akan datang awal dan berbincang bagi mendapatkan isu yang sesuai untuk dibahaskan. Selain membaca akhbar dan laman sosial, kadangkala kami minta juga pandangan daripada pendengar apakah isu menarik yang boleh diketengahkan’

“Saya seronok bekerja dengan mereka, rasa terhibur. Shuib pula sudah banyak belajar tentang konti ketika di Sinar FM, ia menjadikan tugas saya lebih senang,” jelas Fizie. 

Bercerita soal dirinya, jelas Fizie dia juga sedang berjinak-jinak dalam perniagaan. Memilih untuk berniaga pasir, Fizie akui ia agak sukar namun ia tidak bererti dirinya perlu mengalah. 

“Perniagaan ini sangat baharu malah saya difahamkan ia memerlukan komitmen yang tinggi.

Saya perlu banyak belajar tentang selok belok perniagaan ini dengan lebih mendalam. 

“Namun setakat ini saya tidak berniat untuk melepaskan posisi sebagai penyampai radio, saya jalankan dahulu perniagaan itu, sekiranya sudah berkembang nanti barulah saya fikir soal
selanjutnya,” luah Fizie menutup perbualan.

SHUK
SHUK 

Shuk semakin diterima peminat

Shuk pernah berkelana dari kumpulan Balas sewaktu pertandingan Raja Lawak ke SYJ bersama
Yassin dan Jehan dan akhir sekali bergandingan dengan Rahim dan Joey menerusi kumpulan Joras dalam Maharaja Lawak. 

Namun namanya seakan kurang mendapat perhatian daripada peminat-peminat lawak. Malah ada yang mengaitkan lawak-lawak yang diketengahkan oleh lelaki kelahiran Pulau Pinang ini lebih kepada lucah dan kasar. 

Namun anehnya, nama Shuk mula mendapat perhatian di pertengahan tahun 2018, kehebatannya dalam mengendalikan sesebuah program kini menjadikan Shuk antara pelawak yang mahir dalam bidang pengacaraan. 

Tidak mahu terlalu mendabik dada dengan rezeki yang diterima, jelas Shuk, dia tidak menyangka ada ruang untuk dia bertahan dalam bidang seni ini. 

“Syukur, apa yang saya usahakan selama ini akhirnya dipandang. Rezeki sekarang memang jauh berbeza dengan dahulu, saya tidak menyangka akan diberi kepercayaan untuk menjadi
penyampai radio dan saya juga sama sekali tidak menduga akan menjadi pengacara program di televisyen. 

“Apa yang boleh saya katakan, ini semua rezeki anak dan isteri saya. Allah salurkan kepada saya untuk saya berikan kepada mereka,” jelas Shuk yang diberi kepercayaan untuk mengacara Anugerah Skrin 2017 dan 2018 yang lalu. 

Dalam proses untuk menurunkan berat badan, Shuk juga akan keluar dengan produk kelangsingan tidak lama lagi. 

Jelas Shuk, penjagaan berat badan penting terutama bagi mereka yang bergelar artis. 

“Saya sebagai duta untuk produk terbabit namun sekarang ia masih dalam proses uji kaji. Saya sendiri sudah mencuba produk tersebut, rasanya sedap dan ia bukan sahaja membantu dalam penurunan berat badan tetapi juga memberi tenaga.

“Produk ini adalah cubaan pertama saya dalam bidang perniagaan.  Saya tidak tahu sejauh mana jenama saya ini akan terus diperlukan,” jelas Shuk.