Mengulangi sejarah sama pada tahun ini, Ella atau pemilik nama sebenar Norzila Aminudin mencatat rekod terbaharu apabila impiannya untuk meraikan 200 pemuzik muda di The [email protected] Matic berjaya direalisasikan baru-baru ini.

Lebih istimewa, 200 pemuzik yang terdiri daripada pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) turut mengiringi persembahan Ella pada majlis yang dinamakan KITALAH BINTANG.

ELLA (tengah) bersama para pemuzik yang akan mengiringi persembahan dalam konsert solonya hujung bu
ELLA (tengah) bersama para pemuzik yang akan mengiringi persembahan dalam konsert solonya hujung bulan ini. 

“Jujurnya saya tidak pernah fikir untuk mencatatkan sebarang rekod. Apa yang dilakukan semua ini hanya mahu memberi pendedahan kepada pemuzik-pemuzik muda bermain instrumen secara langsung dan beramai-ramai.

“Ini salah satu inisiatif saya juga untuk melihat pelapis-pelapis baharu dalam mengetengahkan bakat mereka. Malahan, mereka semua datang dengan pelbagai latar belakang.

“Ia satu momen yang sangat menarik buat saya dan keseluruhan yang terlibat dalam memastikan majlis ini dapat dilaksanakan mengikut apa yang telah direncanakan,” kongsinya.

Kesemua pemuzik yang mengambil bahagian dalam gagasan muzik KITALAH BINTANG dipandu oleh Ritz selaku Pengarah Muzik profesional.

Tak fikir soal jualan tiket

Menjelang beberapa minggu sahaja lagi konsert penyanyi berusia 52 tahun yang bakal diadakan di Istana Budaya bermula 29 hingga 31 Mac ini, Ella tidak menolak perasaan gementar bagi menghiburkan peminat di dewan berpestij itu.

Jelas penyanyi lagu Sembilu ini, apa yang dirasai itu sebenarnya bukanlah perkara pelik malah bagi penghibur lain, ia merupakan hal biasa sebelum menanti ‘hari besar’.

KUALA LUMPUR 25 FEBRUARI 2019 - Penyanyi rock, Ella membuat persembahan
 

“Apa yang saya risaukan ialah kesihatan. Saya harap tidak berdepan dengan masalah kesihatan terutama sekali batuk.

“Rasa gementar itu tetap ada walaupun sudah lebih 30 tahun saya bergelar penghibur. Pentas persembahan juga tidak asing buat saya.

“Namun, jujurnya setiap kali sebelum nak jejakkan kaki di lantai pentas, rasa gugup itu masih lagi bersarang sehingga sekarang,” ungkapnya.

KUALA LUMPUR 25 FEBRUARI 2019 - Sesi fotografi bersama penyanyi
ELLA berharap kesihatannya berada pada tahap terbaik menjelang konsert solo pada hujung bulan ini.

Sementelah itu, bercakap tentang penjualan tiket, Ella bersyukur kerana penjualan tiket konsertnya laris dan dia sendiri berasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.

Katanya, andai diberi peluang, dia tidak mahu mengusutkan minda dengan memikirkan soal kuantiti penjualan tiket yang terjual.

“Komitmen saya ketika ini hanya mahu buat persembahan yang terbaik untuk peminat. Saya sebolehnya tak mahu fikir sangat tentang berapa tiket yang sudah dijual.

“Pada saya, mereka yang membeli tiket itu pun sudah membuatkan saya tersenyum bangga. Saya sedar pasaran dunia industri kita tidak segah mana.

“Namun, masih ada lagi yang menghargai kami dengan menyokong membeli tiket konsert. Tak perlulah sampai memaksa untuk beli tiket, biarlah atas kerelaan diri sendiri,” katanya.

Berkongsi persiapan untuk konsert itu nanti, penyanyi yang sinonim dengan irama rock ini bakal menyanyikan lagu asli secara istimewa.

“Apa yang boleh dikatakan, persiapan sudah melebihi 55 peratus. Ia termasuklah pemilihan lagu, vokal dan susunan pentas.

“Akan ada satu segmen yang menampilkan saya menyanyikan lagu-lagu asli. Sepanjang saya aktif menyanyi rock, jangan tak tahu saya juga pernah merakamkan muzik asli sebagai single.

“Itu antara kelainan yang akan ditonjolkan selama tiga hari ‘berkampung’ di Istana Budaya. Harapan saya, agar peminat terhibur dan terus menyokong insan seni seperti saya ini,” akhirinya.

Tiket dijual pada harga RM179 hingga RM519 dan boleh dibeli melalui Pro Ticket di www.proticket.com.my.