Cuma untuk tahun ini, dia mahu memberi laluan kepada beberapa projek seni suara yang sudah lebih awal direncanakan.

Ketika pertemuan empat mata dengan gadis berketinggian 157 sentimeter ini, dia mengakui yang hatinya sedang berbunga, tidak sabar untuk memulakan projek terkini yang sudah dirancang.

“Tahun lalu saya terlalu sibuk di set penggambaran. Alhamdulillah 2017 antara tahun saya bekerja kuat dan banyak impian telah dicapai. Sasaran saya untuk 2018 nak fokus kepada karier muzik.

“Dua bidang ini adalah kekuatan saya untuk terus kekal dalam industri seni tempatan. Tapi saya berharap bukan dua cabang itu sahaja. Saya teringin untuk mencuba melakukan perkara baharu yang lain.

“Perlahan-lahan mendaki, insya-Allah semoga akan sampai ke puncaknya,” katanya.

Menerjah masuk ke kancah dunia penuh glamor, minat dalam seni membuatkan diri memuncak seiring populariti yang diraih malah pemilik nama Nur Suhada Jebat ternyata seorang yang amat bertuah dalam serba serbi.

Sungguhpun berbadan kecil, Ayda ‘kuat’ dalam mengendalikan kerjaya seni dan dengan usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus ada, tentunya dia tidak mampu bertahan selama tujuh tahun bergelar anak seni.

Dalam merencana perjalanan seni suaranya, Ayda turut berkongsi kisah gembira tentang pembikinan mini album dan konsert buat peminat tersayang.

“Insya-Allah mini album saya itu nanti akan memuatkan sekurang-kurangnya enam buah lagu. Walaupun bukan album penuh tapi saya amat bersyukur kerana dapat memberikan sesuatu kepada peminat.

“Saya percaya semua penyanyi mengimpikan untuk memiliki album, begitu juga dengan saya.

“Tentang konsert atau showcase, doakan agar impian itu terlaksana pada tahun ini juga, insya-Allah.

“Tak pasti lagi sama ada berskala besar atau pun tidak tapi tahun ini mesti ada (konsert).

“Sebelum ini saya pernah mengadakan persembahan showcase di Singapura dan Alhamdulillah sambutan meriah. Harap penangan itu akan ‘berjangkit’ di sini pula nanti,” tuturnya yang begitu menghargai sokongan peminat sama ada di dalam mahupun luar negara. - Gambar FARIZWAN HASBULLAH

Menanti skrip terbaik

SERING kali diberikan watak yang sama, Ayda akui, dia sudah mulai jelak melakonkan karakter sedemikian.

Bukanlah mahu meninggi diri jauh sekali menolak rezeki, kata Ayda, seandainya diberi peluang oleh rumah produksi, dia ingin ‘menggali’ lebih dalam lagi watak yang belum pernah dibawakan sebelum ini.

Enggan dilabel skeptikal dan statik, anak kelahiran Melaka ini mahu keluar dari zon selesa demi mengejar impian bergelar insan seni yang bukan sahaja popular dan berjaya tetapi juga berkualiti.

Justeru dia menanam tekad dan memberanikan diri untuk meyakinkan pengarah dan penerbit drama dan filem bahawasanya dia tidak hanya boleh melakonkan satu dua watak sahaja sebaliknya lebih daripada itu.

“Setakat kini saya masih lagi mencari naskhah yang bagus. Sejujurnya banyak stesen televisyen yang memberi tawaran lakonan kepada saya tapi apabila meneliti jalan cerita, semuanya sama seperti yang pernah saya lakonkan.

“Bukan mahu menolak tetapi saya juga mahu mencuba dan mencabar kredibiliti diri,” ulasnya penuh yakin.

Tidak kisah dilabel seorang yang selektif apabila bercerita tentang kerjaya lakonan, baginya dia perlu bersikap sedemikian kerana tidak mahu terus berada pada takuk lama dan memastikan namanya terus relevan di lapangan seni.

“Sebenarnya dari dulu lagi saya memang selektif. Selepas drama Dekatkan Jarak Kita dan filem Pinjamkan Hatiku ditayangkan dulu, sudah tentu anggapan orang semakin tinggi selepas ini.

“Mereka tahu kredibiliti saya sebagai pelakon, jadi kena pilih betul-betul. Mungkin peminat akan kata, memanglah jalan cerita sama tapi sebagai pelakon kena ambil itu sebagai cabaran dan warnakannya.

“Tetapi jauh di sudut hati saya, teringin juga nak melakonkan watak yang lebih berat,” akhirinya.