Cuba untuk mendalami lirik dengan lebih dekat, jelas Zamani, lagu ciptaannya bersama Faizal Tahir, Adib Hussin, Mike Chan, Romeo dan Karim Karam ini dilihat lebih kepada luahan hati seseorang terhadap Penciptanya.

“Lagu ini tidak ada kena mengena dengan diri dan sejarah hidup saya sebelum ini, untuk Faizal Tahir saya tidak tahu pula. Namun saya berusaha untuk masuk ke dalam lirik itu agar dapat menghayatinya dengan lebih mendalam.

“Saya berasakan lagu ini bercerita tentang seseorang yang telah berputus asa dengan cinta manusia dan melahirkan perasaan itu kepada Tuhan. Walaupun ada yang kata lirik ini nampak terlalu ringkas dan tidak puitis, namun pada saya ia membawa maksud yang sangat mendalam,” jelas Zamani.

Lari daripada identitinya sebelum ini, Zamani mengaku ia adalah percubaan terbaharunya dalam membawa muzik yang berkonsepkan pop kontemporari.

Malah menurut Zamani, dia perlu melakukan perubahan besar dalam kerjayanya bagi meletakkannya kekal relevan dalam industri muzik sekarang.

“Sebelum ini saya kerap keluar dengan muzik dan suara yang sama. Jadi saya terfikir untuk memberikan pembaharuan dengan mencari lagu yang orang sekarang nak dengar tapi dalam masa yang sama masih ada identiti ‘Zamani’ dalam lagu tersebut.

“Saya sudah berjanji pada diri sendiri sekiranya saya keluar sekali lagi, saya perlu bersedia untuk melakukan perubahan. Bukan untuk menjadi orang lain tetapi mahu mengikut arus muzik sekarang agar saya kekal diterima.

“Tambahan pula, atas tiket nama Faizal Tahir, saya yakin dia mampu melahirkan lagu-lagu yang sedap dan dapat diterima ramai,” jelas Zamani.

Berehat sebulan

Terpaksa berehat sepanjang Ramadan ini bagi menjalani rawatan rapi terhadap masalah tulang belakang yang ditanggungnya selama ini, Zamani berkata, dia telah membuat pemeriksaan kali pertama sebelum ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala rawatan selanjutnya akan dilakukan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Katanya, rawatan itu perlu dilakukan segera kerana dia kini kerap terasa sakit belakang berikutan terlalu banyak pergerakan dan terpaksa bergantung pada ubat tahan sakit.

“Tahun ini saya banyak terbabit dengan persembahan berskala besar. Dua tiga konsert berlangsung sejak Januari lalu membuatkan saya melakukan pergerakan yang banyak.

“Ada kalanya bila sakit menyerang saya terpaksa baring meniarap kerana tidak tahan jika terus berdiri atau duduk. Jadi, Ramadan ini adalah masa yang sesuai untuk saya berehat dan menerima rawatan.

“Saya tidak pasti apa kaedah rawatan yang akan dijalankan, namun saya pinta untuk tidak dibedah,” jelas Zamani.