Enggan disalah tafsir tentang hubungan baiknya bersama Nur Ernie Shahirah Zakri atau Ernie, pelantun lagu, Kau Pun Sama ini menyifatkan kasih sayang yang terbina antara mereka adalah berlandaskan status rakan baik semata-mata. Tiada kurang dan tiada lebih. 

Selesa bila disatukan dalam apa sahaja program mahupun ketika berada di luar posisi kerjaya, Syamel mengakui sikap bersahaja yang ada dalam diri Ernie menjadikan mereka rapat dan senang bekerjasama.

Menjadi kekuatan dan memberi keyakinan kepada dirinya apabila berada diatas pentas, jelas  Ernie, Syamel merupakan pelengkap dirinya ketika ini.

“Saya selesa bila berkongsi pentas bersama Syamel. Malah saya dapat rasakan bahawa dia adalah pelengkap untuk saya tampil lebih yakin apabila berada dalam mana-mana persembahan.

“Saya tidak risau walaupun banyak dikaitkan dengan Syamel.Selagi ada rezeki untuk kami bergabung, ia tetap akan kami usahakan,” jelas Ernie. 

“Saya dan Ernie tiada masalah untuk berduet, bekerja dengan orang yang kita senangi sudah tentu ia mudah. Namun saya tidak mahu terlalu dibayangi antara satu sama lain sehingga menyekat perjalanan langkah kami untuk bergerak solo,” sambung Syamel pula. 

Keserasian dalam cantuman suara, Syamel dan Ernie bagaimanapun tidak pernah menolak siapa sahaja pasangan duet mereka selepas ini. 

Berhak memilih untuk berduet dengan sesiapa sekali pun, jelas Erni terlalu banyak tuah menyelubungi perjalanan seni mereka selepas menyanyikan lagu Aku Cinta, namun sebenarnya ada baik dan kurangnya apabila nama mereka kerap bersama. 

“Walaupun saya gembira dengan pelbagai tawaran yang diterima, tapi secara jujurnya saya tidak mahu perkara lama berulang semula.

“Sebelum ini kami pernah menerima tawaran dalam satu persembahan, malangnya apabila salah seorang daripada kami tidak boleh melakukannya atas sebab-sebab tertentu,  seorang lagi akan terlepas peluang. 

“Situasi begini menyebabkan salah seorang terlepas peluang untuk mendapat tawaran itu sedangkan sebenarnya lagu duet itu hanya dihasilkan sebagai alternatif untuk kami dalam industri ini,” luah Syamel. 

Tidak menafikan bahawa mereka juga sebenarnya pernah bertelagah dalam mencari kesempurnaan sesebuah karya, Syamel mengakui itu semua lumrah dalam bergelar manusia. 

“Biasalah dalam menghasilkan sesuatu perkara yang bermutu, sudah tentu wujud perlbagai konflik. Sebenarnya selalu juga kami bercanggah pendapat, Ernie cikgu vokal dan saya pula jenis main langgar sahaja. Tapi anehnya, di penghujung jalan kami tetap mempunyai pendapat yang sama.