Syafiq yang memegang watak Ustaz Adam dalam naskhah berkenaan juga sengaja menyembunyikan perkara tersebut kerana tidak selesa digembar-gemburkan oleh orang awam.

Dia bertegas untuk tidak mahu menjaja kisah peribadinya hingga menenggelamkan kerjaya seni yang sepatutnya diberi perhatian ramai.

“Bukan satu kewajipan buat saya untuk mendedahkan kisah peribadi kepada semua orang. Saya enggan mensensasikan topik perkara tersebut hingga diperkatakan secara berulang-ulang hingga mendapatkan kesan dalam hubungan.

“Atas sebab itu saya menyembunyikan perkara ini kerana turut membabitkan hati pasangan. Lagipun cara menaja cerita cinta itu bukan amalan kerjaya saya,” tegas Syafiq menjawab spekulasi hubungan cintanya itu pelakon drama ‘Cari Aku Di Syurga’ itu.

Sebelum ini, baik Syafiq mahu pun Mimi dilihat sengaja mengelak apabila status hubungan cinta mereka dibangkitkan pihak wartawan. Hinggakan ada yang beranggapan Syafiq sengaja berdolak-dalih tentang status cintanya kerana bimbang jatuh saham.

Pun begitu, Syafiq memberitahu banyak perkara yang dipelajari selepas kegagalan kisah cintanya dengan pelakon Uqasha Senrose yang terjalin tiga tahun lalu. Pendedahan dalam media antara punca hubungan tersebut tidak berjalan lancar.

“Jadi tidak salah kalau saya belajar sesuatu selepas kegagalan cinta itu. Profesion kami yang terdedah kepada orang ramai ini menjadi penyebab utama saya berdiam diri,” katanya lagi.

Hubungan cinta Syafiq dan Uqasha Senrose dikatakan semakin renggang selepas masing-masing sibuk dengan kerjaya pada 2016. - UTUSAN ONLINE