Faizal mendakwa dirinya mangsa sabotaj apabila foto yang dikatakan mirip dirinya menjadi tular dalam media sosial.

Bagaimanapun Faizal tidak mengiya atau menafikan gambar bogel tersebut sebaliknya lebih selesa membiarkan warganet membuat penilaian atau spekulasi sendiri.

“Kalau ini percubaan orang untuk merosakkan rumah tangga saya, kami bahagia. Saya doakan yang terbaik buat mereka.

“Saya rasa saya tak perlu jawab apa-apa sebab isteri dan Allah tahu mengenainya.

“Biarlah warganet yang membuat penilaian sendiri sama ada gambar itu mirip diri saya atau tidak.

“Apa yang penting gambar itu bukan disebarkan oleh saya. Kalau ada yang merasakan gambar itu mirip saya, nikmatilah ia,” kata Faizal berseloroh.

Faizal juga menjelaskan, dengan umurnya sekarang, banyak perkara yang dia mahu lakukan untuk kebaikan diri.

“Saya dah berumur lebih 40 tahun, rasanya lebih banyak lagi perkara berfaedah yang boleh saya kongsi,” katanya yang ditemui petang tadi sempena pelancaran album baharunya, Rojak.

Sebelum ini tular dalam media sosial foto bogel yang dipercayai mirip seorang penyanyi lelaki popular pada akhir Jun lalu.

Ramai yang membuat spekulasi gambar itu mirip Faizal Tahir memandangkan telefon bimbit yang dipakai sama seperti pemilik gambar yang menjadi kontroversi itu.

Sementara itu, Rojak merupakan album kelima Faizal menawarkan aneka sajian muzik daripada pelbagai genre.

Album ini memuatkan sembilan lagu termasuk yang pernah dikeluarkan sebelum ini seperti Ragaman, Bisa Aja, Starfeather dan Ratu.

Sebagai bonus, album ini turut memuatkan tiga lagu baharu iaitu Kamu, Until We Meet Again dan Fire and Water yang menjadi lagu tema filem animasi BoBoiBoy Movie 2.

Video muzik ketiga-tiga lagu baharu ini termasuk Ratu turut dilancarkan dalam masa yang sama.

Album Rojak boleh didapati secara fizikal dan versi digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan sebagainya. - UTUSAN ONLINE