Sebahagiannya mengambil kesempatan menjadi pembuli siber dan seronok mencari mangsa untuk dimalukan. Itu yang dialami oleh pelakon Fatin Afeefa apabila seringkali menerima komen yang menjengkelkan dan biadab dalam ruangan media sosialnya.

Enggan terus menjadi mangsa buli siber, pelakon Jodoh-Jodoh Annisa ‘berubah’ kepada seorang yang agak lantang setiap kali menaip komen balas warganet yang begitu tajam melemparkan

 

kata-kata.

“Bila disoal mengapa meninggalkan komen berunsur menghentam, dengan mudah mereka berpendapat masing-masing punya hak untuk bebas bersuara.

“Tetapi adakah hak kebebasan bersuara itu menyuruh seseorang menyakiti hati individu lain dengan kata-kata yang dilemparkan?

“Bila saya tegur dengan baik dalam ruangan komen untuk tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan sebagainya, mereka kata saya yang pilih bidang ini (artis) jadi kena ‘telan’ semuanya.

“Kenapa kalau saya pilih kerjaya jadi artis, adakah ia melayakkan saya untuk dihentam dan terus menjadi mangsa buli siber? Takkan kena berdiam diri bila orang luar bertindak melampaui batas?,” luahnya.

Rentetan kejadian itu juga, Fatin atau nama penuhnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, 24, pernah bertindak untuk memuat naik akaun individu-individu yang sengaja mencetuskan provokasi di akaun laman sosialnya.

“Dah mereka kata saya pilih kerjaya sebagai artis kan, jadi kenapa tidak saya pula tolong ‘popularkan’ mereka dalam Instagram.

“Kalau betul berani, kenapa mereka tak cakap depan muka saya. Jangan hanya berlagak pandai di papan kekunci tetapi hakikatnya tidak.

“Jangan ingat kami golongan artis ni tidak boleh buat benda sama seperti yang mereka lakukan. Saya pun manusia biasa, kat luar sama sahaja... tiada beza.

“Alhamdulillah, kaedah yang saya cuba lakukan ini akhirnya membantu dalam mengurangkan mood negatif bila orang lain melihat media sosial saya.

“Malah ada juga yang menghantar mesej kepada saya secara peribadi untuk meminta maaf,” ujarnya sedikit lega.