Muzik K-Pop menjadi semakin popular di sana apabila kumpulan Super Junior dan Stray Kids dijadual mengadakan persembahan di Jeddah hari ini.

K-Pop Herald dalam Twitternya menyatakan BTS akan membuat persembahan dalam siri jelajah dunia di Stadium Antarabangsa Raja Fahd pada 11 Oktober nanti.

“Berita tergempar buat warga Arab Saudi! BTS akan menjadi selebriti antarabangsa pertama membuat konsert di stadium. Mereka akan mengadakan persembahan di Stadium Antarabangsa Raja Fahd pada 11 Oktober,” katanya.

 

Perkara tersebut turut disahkan portal Arab News menerusi laporannya hari ini yang menyatakan persembahan artis Korea itu adalah yang pertama kali di adakan di stadium itu sebagai salah satu acara di Festival Riyadh.

“Superstar global, BTS disahkan hari ini bahawa mereka akan mengadakan persembahan di Arab Saudi buat pertama kali pada 11 Oktober nanti di Riyadh,” katanya.

Bagaimanapun ciapan K-pop Herald di Twitternya mengenai pengumuman itu mendapat kritikan ramai pengguna kerana dipercayai mencemarkan kesucian tempat beribadat bagi umat Islam.

Maryam (@Maryam_i_02) berkata, “Mekah dan Madinah terletak di Arab Saudi merupakan tempat tumpuan ibadah umat Islam seluruh dunia... Kerajaan Arab Saudi sepatutnya tidak membenarkannya.”

Bagaimanapun, ada juga yang menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan BTS apabila berada di sana nanti.

Raine (@pristmataech17) berkata, “Saya risau, harap mereka selamat ketika berada di sana.”

Yashian (@samisr535) berkata, “Saya harap semua akan berjalan lancar, Allah lindungi mereka.” - UTUSAN ONLINE