Persembahan yang diberi nama Makyung Raja Gondang ini bakal mengetengahkan para pelakon dan tenaga produksi yang terdiri daripada pensyarah, pihak pengurusan, pelajar dan alumni sahaja.

Menurut Juhara, persembahan ini juga diangkat sebagai aktiviti di bawah sambutan ulangtahun ke-25 Aswara.

“Selain dapat mengukuhkan ukhuwah antara pelajar, pensyarah dan kakitangan institusi seni ini, yang paling penting ia dapat memberi apresiasi kepada semua untuk mengangkat dan memartabatkan seni tradisi yang telah diiktiraf dunia ini.

“Ia akan berlangsung selama tiga hari iaitu 23 hingga 24 Ogos pada pukul 8.30 malam dan 25 Ogos, 3.00 petang. Tiket pula berharga RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk pelajar,” katanya.

Tambah Juhara, teater ini mengisahkan dendam seorang anak raja iaitu Raja Gondang terhadap ayahnya Raja Besar. Disebabkan permaisuri Raja Besar iaitu ibu Raja Gondang (Tuan Puteri Gak Jetera) melahirkan anak sebiji Gondang, maka Tuan Puteri Gak Jetera telah dipukul palu dan dihalau dari istana.

“Bagi pelajar dan alumni Aswara, mereka telah ada pengalaman membuat persembahan Makyung sebelum ini kerana Makyung merupakan kursus wajib akademi di ASWARA.

“Begitu juga dengan pensyarah Makyung Aswara yang terlibat seperti Zamzuriah, Eyzendy, Che Kem dan Ismadian, pengalaman dan ilmu mereka sebagai tenaga pengajar dapat dikongsi bersama pelajar dan kakitangan Aswara yang tidak ada pengalaman dalam Makyung,”ulasnya.

Diarahkan oleh Kamarulzaman Taib atau Che Kem, Juhara percaya persembahan ini akan memberikan keistimewaan tersendiri kepada penontonnya.

“Pengalaman Che Kem sebagai pelakon teater, TV dan filem juga memberi impak yang besar dalam persembahan dengan menggalas tugas sebagai Pengarah Makyung Raja Gondang ini.

“Selain pelakon, bahagian tenaga produksi juga turut dibantu dengan pensyarah, alumni dan pelajar Aswara yang berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing.

“Walaupun para pelakon bukan dalam kalangan nama-nama besar dalam industri, namun persembahan Makyung Raja Gondang sentuhan Che Kem ini boleh memenuhi citarasa penonton masa kini dan yang paling penting dapat memelihara seni tradisional ini dari terus hilang ditelan zaman,”jelasnya. - UTUSAN ONLINE